Selepas Tersingkir, PU Merico Nekad Terus Berdakwah Dengan Pizza

30 Oktober 2015. 1.23 AM
3,126
Salam Muslim
Selepas Tersingkir, PU Merico Nekad Terus Berdakwah Dengan Pizza

Mimbar Pencetus Ummah 2015 minggu ketiga yang berlangsung malam tadi telah menyaksikan usahawan pizza, PU Merico menjadi peserta ketiga meninggalkan program dakwah itu apabila namanya diumumkan tersingkir.

Bercakap mengenai penyingkirannya, PU Merico atau nama sebenarnya Merico Bin Achenk Abdullah, 29, berkata dia bagaimanapun bersyukur kerana diberi peluang menuntut dalam gudang ilmu seperti Pencetus Ummah dan dia sendiri tahu kelemahannya berbanding rakan-rakannya yang lain.

Bagi Merico, penyingkirannya itu adalah satu ketentuan Allah S.W.T yang telah menetapkan tempatnya bukanlah dalam bidang tazkirah tetapi mungkin sebagai usahawan pizza atau bidang motivasi.

Menyentuh tentang perancangannya selepas ini, PU Merico berkata dia akan meneruskan perniagaan pizza miliknya dan pada masa yang sama, mengekalkan konsep dakwah yang diterapkan sepanjang dia berada dalam Pencetus Ummah.

PU Merico yang merupakan anak didik Imam Muda Asyraf ini juga mengakui, kesempatan yang diberikan kepadanya sebagai peserta Pencetus Ummah juga sedikit sebanyak akan membantu rezekinya sebagai usahawan pizza.

PU Merico tersingkir dari Pencetus Ummah 2015 selepas mendapat markah terendah berbanding 9 peserta lain dalam mimbar malam tadi.

Selain PU Merico, dua lagi peserta yang berada dalam kedudukan bahaya ialah PU Abu dan PU Zaid.

Mimbar Pencetus Ummah 2015 minggu ketiga hadir dengan tema “Antara Budaya & Sunnah Rasulullah S.A.W.

Setiap peserta diminta menghuraikan tentang gaya keperibadian Rasulullah S.A.W terhadap hal-hal seperti permakaian, kebersihan, makanan, perkahwinan dan sebagainya.

Pengkritik atau juri jemputan untuk minggu ini ialah pelakon Arash Mohamad dan Ustazah Norhafizah Musa disamping dua juri tetap iaitu Ustaz Datuk Kazim Elias dan Abby Fana.

Artis jemputan untuk minggu ini ialah Nash dan kumpulan Adeep Nahar & Caravan of Praise.

Mimbar Pencetus Ummah telah bersiaran secara langsung dari Auditorium DR Zainuddin Jaafar, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor.

Ianya telah dihoskan oleh pasangan pengacara Ustaz Zulkefli Hamat dan Haji Shamsul Ghau Ghau.

Teruskan menonton Pencetus Ummah 2015 minggu hadapan yang manampilkan 9 lagi peserta bersaing.

Teks oleh Helmi Zainalabidin


Artikel Berkaitan


Komen