Tidak dinafikan komen daripada juri juga merupakan saat yang paling ditunggu para peminat Gegar Vaganza setiap kali selepas peserta kegemaran mereka selesai membuat persembahan.

Kadangkala ada juga di antara komen pedas juri yang tidak boleh diterima para peminat, tetapi peserta di atas pentas terpaksa pasrah dan menerima seadanya (walaupun pedih). Tidak termasuk Ifa Raziah!

Bagaimanapun tidak dinafikan momen tersebut paling mendebarkan dan menyebabkan auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) havoc!

Apa kata, sebelum konsert ketiga berlangsung pada Ahad ini kita imbas kembali komen-komen juri profesional Dato’ Ramli MS, Dato’ Khadijah Ibrahim dan Dato’ M.Daud Kilau pada minggu lalu:

Siti Nordiana (Dato’ Ramli MS)
Peserta pertama membuat persembahan dan menyanyikan lagu Madah Berhelah yang dipopularkan oleh Ziana Zain. Dato’ Ramli, Nana tidak mempunyai masalah dari segi vokal dan pitching tetapi persembahannya kurang bertenaga!

Nizam Laksamana (Dato’ Khadijah Ibrahim)
Nizam telah mempersembahkan lagu popular kumpulan Medicine iaitu Tika dan Saat Ini serta disaksikan oleh penyanyi asalnya. Mungkin kerana gementar, menurut Dato’ Kat nyanyian di peringkat awal agak kurang memuaskan tetapi closing ‘meletop’!



Sheeda (Dato’ M.Daud Kilau)
Dato’ M. Daud Kilau sukakan persembahan dan tiada masalah dengan nyanyian Sheeda menerusi lagu Semakin Hari Semakin Sayang, nyanyian asal Uji Rashid. Cayalah Sheeda! Pertama kali Astro Gempak dengar Sheeda nyanyi lagu bukan bergenre dangdut. Not bad!

Ezad Lazim (Dato’ Ramli MS)
Agak menarik kerana vokalis kumpulan Mega, Rahmat telah memberi komennya. Menurut Rahmat, vokal Ezad tidak pernah mengecewakan dan dia juga pernah menjadi juri ketika Ezad menyertai sebuah pertandingan nyanyian. Sementara, Dato’ Ramli juga turut memuji kehebatan vokal Ezad menyampaikan lagu popular kumpulan Spring berjudul Butakah Cinta.

Zul Handy Black (Dato’ Khadijah Ibrahim)
Dato’ Kat berpesan supaya Zul lebih berhati-hati ketika menyanyikan ‘high-note’ tetapi memuji cara nyanyian Zul pada bahagian chorus lagu berjudul Sendiri nyanyian May itu. “Wonderfull!!!” kata Dato’ Kat.

Azian Mazwan Sapuan (Dato’ M.Daud Kilau)
“Saya tidak dapat mencari kesalahan dalam nyanyian awak! Persembahan mantap.” Kata Dato’ M.Daud Kilau selepas penyanyi beranak tujuh ini selesai menyanyikan lagu dari Franssica Peter, Aku Hanya Pendatang.


Acong Sweetchild (Dato’ Ramli MS)
“Seorang pelawak, pelakon, pengacara dan boleh menyanyi dengan bagus. Saya dapat rasa nyanyian Acong dan ini adalah persembahan yang baik!” Tersenyum simpul Acong selepas Dato’ Ramli memberikan komen itu kepadanya. Acong telah menyanyikan lagu kumpulan Visa berjudul Dalam Gerimis.


*Kesemua 12 peserta program Gegar Vaganza 2 mara ke minggu ke 3 pertandingan tanpa sebarang penyingkiran.*


Haiza (Dato’ Khadijah Ibrahim)
Dato’ Kat memuji persembahan Haiza yang sangat menjadi ketika mempersembahkan lagu Zur Eda, Kelmarin. “Very Good”, kata Dato Kat sebaik sahaja Haiza selesai menyanyi.

Ezlynn (Dato’ M.Daud Kilau)
Mungkin kerana pernah bergandingan bersama, Dato’ M.Daud Kilau nampak berhati-hati ketika memberi komen kepada Ezlynn. Menurutnya suara Ezlynn cantik ketika menyanyikan lagu Camar Yang Pulang (nyanyian Aishah) dan berharap agar Ezlynn berjaya di dalam GV2.

Amir Ukays (Dato’ Ramli MS)
Menurut Dato’ Ramli Amir mempunyai suara yang berat tetapi ‘powerfull’. Bagaimanapun ia perlu ditapis dan tidak perlu menjerit kerana vokal Amir ada kemerduan oleh itu Amir perlu lebih rileks ketika menyanyi kerana ia akan membuatkan nyanyiannya lebih baik. Amir telah menyanyikan lagu Allahyarham Sudirman berjudul Hujan dan Air Mata.

Farahdhiya (Dato’ Khadijah Ibrahim)
Persembahan yang mengejutkan dari penyanyi ini apabila dia menyanyikan lagu Di Alam Fana Cinta yang dipopularkan kumpulan Fotograf dalam versinya tersendiri. Dato’ Kat menegur nyanyian Farahdhiya ketika acapella (pembukaan) dan memintanya berhati-hati pada masa akan datang. Namun katanya lagi, suara seperti Farahdhiya ‘rare’ dalam industri kerana tone suara seperti itu agak sukar dicari pada masa sekarang. Well done Farahdhiya!

Nassier Wahab (Dato’ M. Daud Kilau)
Tiada apa yang boleh dikatakan kerana penyanyi otai ini memang terbaik dan cukup sempurna ketika menyanyikan lagu popular Adam Ahmad berjudul Kau Pergi Jua. Hanya satu perkataan yang terkeluar dari mulut Dato’ M. Daud Kilau pada malam tersebut, “Good!”

Kepada para peminat GV2 jangan lupa untuk menyaksikan konsert ketiga pada Ahad ini yang disiarkan secara langsung bermula pukul 9 malam di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Teks Oleh: Hafiza Kamarudin