Berang Dengan Peminat, Justin Bieber Batalkan Konsert Serta-Merta

1 November 2015. 11.14 AM
21,276
Hiburan
Berang Dengan Peminat, Justin Bieber Batalkan Konsert Serta-Merta

Bintang Pop dunia, Justin Bieber kembali mencetuskan kontroversi apabila bertindak membatalkan konsertnya serta merta hanya selepas menyanyikan sebuah lagu  di Oslo, Norway.

Bieber yang bakal melancarkan album terbarunya bulan hadapan berbuat demikian selepas berang dengan sikap segelintir peminat yang sengaja melemparkan air di atas pentas sewaktu dia sedang membuat persembahan.

“Maaf, persembahan tidak akan diteruskan,” ujarnya kepada para peminatnya yang juga dikenali dengan “Beliebers” sambil jalan meninggalkan pentas.

Penyanyi yang popular dengan lagu ‘What Do You Mean’ ini kecewa selepas tegurannya tidak diendahkan selain peminat mula cuba memegang kedua-dua belah tangan dan kakinya secara tidak terkawal.

Tidak berapa lama kemudian, Bieber telah memuat naik sebuah foto di Instagram meluahkan rasa kecewanya dengan apa yang terjadi dan meminta maaf kepada tenaga kerja yang bertungkus lumus menjayakan konsert tersebut.

“Saya sama sekali tidak berniat untuk bersikap kurang ajar, tetapi terpaksa menamatkan persembahan serta merta kerana peminat di barisan hadapan tidak mahu mendengar (teguran),” antara kapsyen yang dipetik menerusi laman Instagram miliknya.

Malah jet peribadinya dilihat meninggalkan lapangan terbang Oslo tidak berapa lama selepas dia membatalkan konsertnya dengan membiarkan para peminatnya berada dalam keadaan kecewa dan menangis.

Awal minggu lalu, Bieber bertindak mengakhiri temubual bersama stesen radio di Sepanyol selepas kecewa dengan beberapa soalan kontroversi yang dilemparkan oleh penyampai radio.

Olahan Semula: Khalid Rahman

Sumber: The Guardian, Daily Mail, ABC  News


Artikel Berkaitan


Komen