Pelawak Achey Nasihat Abam Supaya Lebih Rajin Bergaul

3 November 2015. 1.11 AM
25,132
Zon Lawak
Pelawak Achey Nasihat Abam Supaya Lebih Rajin Bergaul

Pelawak Achey Bocey mengakui ada menasihati rakan baiknya, Abam supaya rajin bergaul dengan ahli kumpulan yang diwakilinya sewaktu  menyertai program Super Spontan All Stars.

Menurut Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Bin Hamzah, faktor kurang berkomunikasi antara rakan sepasukan merupakan punca utama Abam disingkirkan secara mengejut di minggu keempat.

“Saya agak terkejut juga apabila Abam tersingkir di minggu keempat. Sebab semua orang tahu Abam  salah seorang peserta ‘Favourite’ dalam Super Spontan All Stars.

“Penyingkiran Abam mungkin faktor dia kurang bergaul dengan rakan sepasukan yang diwakilinya. Saya ada juga berjumpa Abam dan menasihati dia untuk lebih rajin bergaul dan berkomunikasi dengan ahli kumpulan #KungfuKipidap,” jawab Achey ditemui selepas diumumkan pemenang tempat ketiga pentas akhir Super Spontan All Stars yang berlangsung dari Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam.

Achey diminta mengulas lanjut mengenai penyingkiran Abam secara mengejut di minggu keempat di Super Spontan All Stars baru-baru ini.

Dalam pada itu, Achey menjelaskan kejayaannya berada di tempat ketiga pentas akhir Super Spontan All Stars hasil hubungan yang akrab bersama peminat.

“Kejayaan  untuk berada di tempat ketiga bukan kerana saya sudah cukup bagus. Tetapi kerana hubungan yang agak rapat dengan peminat. Macam mana kita kena ambil hati peminat dan bagaimana  berinteraksi dengan mereka. Jadi dari situ mungkin itu kelebihan yang saya ada, kalau nak dikirakan prestasi lima finalis yang lain lebih baik daripada saya,” jelas Achey lagi.

Tambah Achey lagi, kemenangannya hanya berdasarkan kepada undian SMS namun tewas dari segi pengalaman jika dibandingkan dengan nama besar seperti Pak Yus, Tauke dan Rahim.

“Saya cakap terus terang Pak Yus, Tauke dan Rahim mempunyai pengalaman yang cukup tinggi dan mereka hanya tewas dengan undian SMS sahaja. Saya belum setaraf lagi dengan mereka dari segi penglibatan dalam dunia seni sebab saya masih lagi di bawah,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Achey bakal muncul menerusi program karaoke komedi diberi nama ‘Juara Parodi’ yang menggabungkan pelawak dan penyanyi terkenal tanah air yang akan mula berlangsung pada 6 November ini di saluran Astro Warna (132).

Jumaat minggu lalu, Zizan Razak muncul sebagai juara Super Spontan All Stars dan telah membawa pulang wang tunai berjumlah RM150,000 beserta trofi sumbangan Astro. Johan di tempat kedua dan memenangi wang tunai RM75,000 serta trofi.

Sementara itu tempat ketiga menjadi milik Achey yang turut membawa pulang wang tunai RM50,000 diikuti Pak Yus dan  Rahim yang masing-masing menerima wang tunai berjumlah RM10,000 dan RM5,000 serta trofi.

Teks Oleh: Khalid Rahman


Artikel Berkaitan


Komen