Peminat Sanggup Lakukan Apa Sahaja Demi Rajinikanth

5 November 2015. 3.25 PM
6,911
Hiburan
Peminat Sanggup Lakukan Apa Sahaja Demi Rajinikanth

Kemunculan bintang ternama India, Rajinikanth di Malaysia untuk menjalani penggambaran filem terbarunya, ‘Kabali’ terus menjadi perhatian dan perbualan para peminat sejak minggu lalu.

Terkenal dengan panggilan ‘Thalaiva’ (pemimpin) di kalangan peminatnya, Rajinikanth sentiasa dikelilingi peminatnya ke mana sahaja beliau berada dan sesiapa pun yang dapat bergambarnya  menganggap diri mereka sangat bertuah.

Rajinikanth yang bakal meraikan hari jadinya yang ke-65 bulan depan ini cukup terkenal degan keramahannya dan sikap mesra untuk berjabat tangan dan selfie dengan sesiapa sahaja.

Lebih menarik peminat tegar ikon filem India ini sanggup lakukan apa sahaja demi bersua muka dengan Rajinikanth.

Antaranya kisah Ekhnath Vivekanandar, 23, yang sanggup pergi ke hotel tempat pelakon itu menginap di sini bagi memenuhi impiannya untuk bertemu dengannya.

"Saya meminatinya sejak saya kecil lagi dan apabila mendapat tahu Thalaiva saya berada di sini, saya berjanji dengan diri sendiri untuk tidak melepaskan peluang bertemu dengannya," kata pemuda itu.

Pada mulanya, Ekhnath hampir berputus asa dengan rancangannya itu kerana kehadiran ramai peminat pelakon itu di hotel berkenaan, namun beliau tetap tabahkan hati.

"Kemudian, saya ikut keretanya ke lokasi penggambaran dan menunggu berjam-jam dengan harapan dapat bertemu dengannya," jelasnya.

Kesabaran  Ekhnath Vivekanandar  membuahkan hasil apabila semua peminat lain beredar, Rajinikanth hadir di hadapannya dan mereka berbual serta bergambar bersama.

Lain pula kisah Abiraami Menon, 23, berniat menyiarkannya gambarnya bersama Rajinikanth di media sosial kerana begitu terharu dengan sikap merendah diri serta kemesraan semula jadi yang ditampilkan pelakon berkenaan dengan para peminatnya.

Menurut pelajar perempuan ini, dia adalah antara peminat yang berkumpul di satu lokasi penggambaran di sini dan hampir menangis kerana kecewa tidak dapat bertemu pelakon pujaannya itu.

Bagaimanapun, seperti suatu keajaiban berlaku apabila Rajinikanth dapat mengesan kekecewaannya dan ketika beredar dengan kereta dari tempat itu, pelakon berkenaan meminta pemandunya berhenti dan memanggilnya.

"Rajinikanth pegang tangan saya dan meminta saya supaya jangan menangis," katanya sambil menambah bahawa beliau terkejut dengan sikap sayang pelakon itu kepada peminatnya.

Menurut laporan, Rajinikanth akan berada di Malaysia hingga 21 Nov ini bagi menyempurkan penggambaran filem itu, yang bermula di Melaka sebelum beralih ke Kuala Lumpur.

Olahan Semula: Khalid Rahman

Sumber: Astro Awani


Artikel Berkaitan


Komen