Peserta Gegar Vaganza 2 (GV2), Haiza Hanafi akui tertekan selepas memperoleh markah tertinggi pada persembahannya di konsert minggu ketiga, Ahad lepas.

Penyanyi dan penyampai radio Best FM itu berkata, tekanan semakin dirasai selepas melihat maklumbalas peminat yang mahu melihat persembahan terbaik darinya pada konsert minggu keempat ini.

“Tertekan juga bila tahu saya adalah peserta yang menduduki tempat teratas pada minggu lalu sebab saya bukanlah bagus sangat.

“Perasaan saya ketika ini bercampur baur. Saya cuak, ‘stress’ semua ada. Tetapi komen positif dari peminat dan juri minggu lalu adalah pemangkin semangat untuk saya terus berjuang dan bekerja dengan lebih keras lagi,” katanya kepada Astro Gempak.

Tambah Haiza lagi, dia bimbang sekiranya persembahannya pada minggu keempat bertemakan ‘Berdua Lebih Baik’ tidak mencapai tahap yang diharapkan penonton dan juri profesional.

“Saya memang sangat risau kerana takut orang akan cari kesalahan saya. Bagaimanapun, saya sudah bersedia untuk itu.

*Persembahan Haiza yang berjaya memikat hati juri dan meletakkan dia di tempat teratas dengan markah 41% minggu lepas*


“Sekarang ini saya mahu fokus dan memastikan persembahan setiap minggu penuh pengisian. Tidak mahu orang nampak saya ini biasa-biasa sahaja.

“Oleh itu saya memang lebihkan di bahagian vokal supaya nyanyian tidak sumbang. Tak dapat ‘perfect’ , hampir pun tak apa,” ujarnya.

Pada minggu ini Haiza akan berduet bersama bekas vokalis Hyper Act, Ronnie Hussein menyanyikan lagu berjudul ‘Bintang Kehidupan’ yang pernah dinyanyikan Ronnie bersama penyanyi dari Indonesia iaitu Yanti Aryanto. Penyanyi asal lagu tersebut ialah mendiang Nike Ardilla.

Pada minggu ini cabaran yang bakal dilalui para peserta GV2 di konsert minggu keempat ialah berduet bersama rakan-rakan artis seperti Adira, Alif Satar, Lan Kristal, Awiera, Haleeda, Misha Omar, Jaclyn Victor, Nourul Wahab dan ramai lagi.

Gegar Vaganza 2 dibawakan secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada setiap Ahad bermula 9 malam dan disiarkan di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123).

Jika anda terlepas persembahan terdahulu peserta GV2, klik link ini www.astrogempak.com.my/gegarvaganza .

Teks Oleh: Hafiza Kamarudin