Pasangan Yaya Maembong dan Wan Raja teruja apabila berpeluang melihat bayi mereka dalam kandungan ketika melakukan pemeriksaan imbasan ultrasound baru-baru ini.

Tiada perasaan yang dapat digambarkan oleh Yaya Maembong apabila melihat dengan matanya sendiri bayi yang kini berusia 4 bulan dalam kandungannya bergerak dalam pelbagai posisi.

"Alhamdulilah bayi dalam kandungan sihat dan aktif. Masa pertama kali melihatnya kami berdua rasa teruja yang amat sangat dan seperti tak percaya ada kehidupan di dalam perut saya.

"Kebetulan masa pemeriksaan dilakukan bayi bergerak-gerak dengan gaya tangan tutup muka dan kemudian dia ubah posisi ke belakang pula.

"Dek kerana teruja sangat kecoh bilik doktor ketika pemeriksaan ini bising dengan mulut kami berdua sahaja," katanya ketika dihubungi.

Pun begitu ketika imbasan itu dilakukan Wan Raja berkata mereka tidak berpeluang melihat jantina bayi dengan jelas dan doktor memberitahu ianya boleh disahkan bila mereka melakukan imbasan ultrasound sekali lagi bulan hadapan.

"Ketika imbasan dilakukan, kami tidak nampak dengan jelas apakah jantina bayi tetapi dalam kesamaran itu tidak pula nampak seperti alat sulit lelaki.

"Mungkin perempuan, mungkin sebaliknya kerana doktor memberitahu ianya hanya dapat disahkan sehingga bulan hadapan," katanya.

Pasangan ini telah bernikah pada Disember tahun lalu dan bakal menimang cahaya mata pada awal tahun hadapan.

Yaya Maembong kini muncul dengan program realiti digital bersiri The House bersama 2 orang adik beradiknya yang lain iaitu Emma Maembong dan Chacha Maembong.

The House disiarkan secara eksklusif menerusi portal Astro Gempak atau www.thehouse.com.my pada setiap hari Rabu jam 4.00 petang dan diikuti dengan siaran televisyen yang akan disiarkan di saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123) pada setiap hari Isnin jam 9.30 malam bermula 2 November 2015.

Teks oleh Ellyna Ali