Halia mempunyai banyak manfaatnya. Ia boleh dijadikan salah satu bahan di dalam makanan atau minuman.

Malah ia juga boleh menjadi komponen yang sangat penting untuk penyediaan produk kesihatan atau makanan.

Menyedari hakikat itu, seorang innovator akar umbi di sebuah bengkel kecil di Kampung Butong, Tambunan, Sabah iaitu Hendry Charles telah mengusahakan produk Hiliran Halia di tempatnya.

Beliau telah menghasilkan pelbagai produk makanan dan minuman yang telah menerima sijil pengesahan halal seperti halwa halia, halia madu, serbuk minuman halia, kordial halia dan sos cili halia. Beliau seterusnya telah mendaftarkan perniagaan beliau dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebagai Pemborong Mangkap Enterprise (PME).

Malah, beliau juga telah mengusahakan perniagaan tersebut selama tiga tahun dengan bantuan Yayasana Inovasi Malaysia (YIM), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Sirim Berhad (SIRIM). Projek ini juga merupakan satu inisiatif di bawah program 1Daerah 1Industri di Tambunan untuk mengeluarkan beberapa produk berasaskan halia.

Hendry menjelaskan, sumber ekonomi utama di Tambunan berasaskan kepada aktiviti pertanian terutamanya halia. Tetapi dengan bantuan beberapa agensi kerajaan, produk asas pertanian tersebut dapat dikembangkan menjadi produk makanan dan minuman dan dapat dikomersialkan ke pasaran tempatan.

Hendry telah menerima geran dan bantuan berjumlah sehingga RM 60,000 daripada agensi-agensi tersebut. Dengan bantuan ini, syarikat beliau kini mempunyai pekerja tempatan yang membantu dalam pengeluaran Hiliran Halia. Produk inovasi ini telah dilindungi dibawah Hak Harta Intelektual Petunjuk Geografi (GI) di bawah MyIPO.