Tiga beradik popular Emma, Chacha dan Yaya Maembong meluangkan masa bercuti bersama di Paris dan London.

Selain bercuti, tujuan tiga beradik Maembong itu ke negara Eropah tersebut adalah untuk menziarah saudara mara mereka di Paris.

Percutian selama 10 hari itu turut ditemani suami Yaya, pelakon Wan Raja dan adik lelaki mereka Ahmad Bakti yang lebih mesra dengan panggilan Ahmad.

Yaya ketika dihubungi berkata, percutian ke London agak menyeronokkan kerana mereka berkesempatan menyaksikan perlawanan bola sepak melibatkan pasukan Manchester United di Stadium Old Trafford dan menonton World Wrestling Entertainment (WWE).

"Kami ke London kerana mahu bercuti dan berjalan-jalan selain menemani suami yang mahu menyaksikan perlawanan bola sepak di Stadium Old Trafford. Kebetulan Emma pula memang minat betul dengan WWE, jadi alang-alang sudah berada di sini, kami pun pergilah menontonnya.

"Sebelum itu kami ke Paris menziarah saudara yang membuka restoran Nasi Lemak di sana selain pergi melawat tempat-tempat menarik," katanya yang masih berada di London.

Tiga beradik ini yang berada di sana sejak 2 November lalu, turut berkongsi gambar-gambar menarik sepanjang percutian mereka di akaun Instagram masing-masing.

Saksikan trio ini dalam program realiti The House yang disiarkan secara eksklusif menerusi portal Astro Gempak atau www.thehouse.com.my pada setiap hari Rabu jam 4.00 petang juga menerusi siaran televisyen di saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123) pada setiap hari Isnin jam 9.30 malam.

Sebelum itu, Astro Gempak kongsikan kepada anda semua beberapa foto menarik gadis Maembong di Paris dan London:

Teks Oleh: Syafiqah Jalal