Selebriti popular seperti Datuk Aznil Haji Nawawi, Jihan Muse, Nabil Ahmad dan Nora Danish memeriahkan rancangan realiti terbaru Astro Ceria, Ceria All Stars.

Aznil bakal bertindak sebagai penaung program manakala Jihan bersama pelakon cilik, Mia Sara akan menggalas tugas sebagai hos Ceria All Stars.

Nora dan Nabil pula bakal bergandingan sebagai juri tetap bersama seorang selebriti jemputan yang bertindak sebagai juri undangan.

"Ini merupakan kali pertama Jihan beraksi sebagai hos rancangan kanak-kanak. Nabil dan Nora pula dipilih sebagai juri kerana status mereka sebagai bapa dan ibu.

"Atas dasar itu, pasti mereka faham apa yang kanak-kanak mahukan. Mereka juga adalah seorang penghibur dan pengalaman mereka pastinya berguna untuk peserta-peserta Ceria All Stars," kata Hadzelynda Khairuddin selaku Penolong Naib Presiden Astro Ceria & Segmen Remaja
.

Bakal bersiaran selama tujuh episod, Ceria All Stars tidak terhad kepada bakat nyanyian dan tarian sahaja.

Ceria All Stars membuka ruang untuk kanak-kanak menonjolkan bakat mereka dari nyanyian sehinggalah lakonan, aksi akrobatik dan kelincahan di pentas tari, ketangkasan dalam seni mempertahankan diri seperti karate dan taekwondo, pentunjukan silap mata mahupun kemahiran bermain alat muzik.

Peserta akan dibahagikan kepada empat kumpulan di setiap kumpulan akan bertanding dalam setiap satu episod.

Pemenang setiap episod ditentukan sepenuhnya juri tetap dan akan mara ke pusingan separuh akhir pada 1 Januari 2016 dan pusingan akhir bakal berlangsung pada 8 Januari 2016.

Juara Ceria All Stars bakal membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM20,000 beserta trofi sumbangan Astro, manakala naib juara pula bakal memenangi wang tunai sebanyak RM15,000 beserta trofi.

Tempat ketiga bakal meraih hadiah sebanyak RM10,000 dan juga trofi manakala pemenang keempat dan kelima masing-masing akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000 dan RM3,000 beserta trofi.

Ceria All Stars akan bersiaran bermula 27 November ini, pada setiap Jumaat, pukul 9 malam di Astro Ceria dan Astro Maya HD (Saluran 611 dan 135).

Teks oleh: Kamaruddin Razal