Pelakon dan Pelawak Zizan Razak mengambil keputusan untuk tidak mengulas lebih lanjut mengenai pengguguran Kamal Adli menerusi filem terbaru arahan Syafiq Yusof, Abang Long Fadil 2.

Menurut Zizan Razak atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak, dia tidak bersedia untuk memberi sebarang komen mengenai perkara tersebut kerana tidak mahu ia disalah tafsir sesetengah pihak.

“Saya rasa pihak produksi sudah menjawab mengenai perkara tersebut. Saya tidak perlu jawab apa-apa dan tidak boleh buka mulut pun sebab nanti jadi salah faham. Lebih baik saya diam sahaja,” jawab Zizan Razak ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Abang Long Fadil 2 di Restoran Haslam, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun jelas Zizan, dia cuba mencari jalan yang terbaik sekiranya dia ditawarkan untuk bergandingan dengan Kamal Adli di masa hapadan.

“Saya tiada masalah. Kalau boleh saya cuba untuk cari jalan paling baik untuk keselesaan saya dan kedua-dua pihak sekiranya kami bergandingan.

“Maksud saya benda yang tidak menyusahkan kami berdua,” jelasnya.

Dalam pada itu, pengarah filem Abang Long Fadil 2, Syafiq Yusof menafikan dakwaan kononnya nama Kamal Adli digugurkan dan hanya mengekalkan Zizan sahaja.

“Jalan cerita untuk Abang Long Fadil 2 kali ini sangat berbeza dengan sebelum ini dan turut dibarisi pelakon-pelakon baharu.

“Saya menafikan kononnya kami telah mengugurkan Kamal Adli dan hanya mengekalkan Zizan sebagai pelakon utama,” jelas Syafiq Yusof.

Filem Abang Long Fadil 2 bakal dibarisi oleh Acey Bocey, Shuib Sepahtu, Tanis Hudson, Syamsul Yusof, Dato’ AC Mizal, A. Galak dan Way Doyok dan Mas Khan.

Filem terbitan bersama Skop Productions dan Astro Shaw ini bakal menjalani penggambaran bermula ada 15 November di beberapa lokasi di Kuala Lumpur, Pelabuhan Klang, Putrajaya dan sekitara Lembah Klang.

Teks Oleh: Khalid Rahman