YoungJae Got7 Hampir Terkena Letupan Bunga Api, Peminat Mohon Maaf

17 November 2015. 4.19 AM
10,279
Hiburan
YoungJae Got7 Hampir Terkena Letupan Bunga Api, Peminat Mohon Maaf

Salah seorang anggota kumpulan K-Pop terkenal Got7, Youngjae hampir tercedera akibat letupan bunga api ketika sesi bertemu peminat di Manila, Filipina baru-baru ini.

Kejadian tersebut telah menimbulkan kerisauan di kalangan peminat Got7, sebaik sahaja seorang peminat yang dikenali sebagai Hazel Lapitan memuatnaik sebuah video di laman sosial.

Video berdurasi 1:09 minit itu menunjukkan Youngjae dan Jackson sedang menyanyi dan menghiburkan peminat mereka sebelum sebuah letupan berlaku secara tiba-tiba.

Akibat panik, Youngjae tidak sempat melarikan diri tetapi berjaya melindungi wajahnya daripada terkena letupan tersebut.

Sementara itu, Jackson pula dilihat terbatuk-batuk akibat terhidu asap bunga api.



Bagaimanapun, lima anggota Got7 lain iaitu Mark, BamBam, Junior, JB dan Yugyeom berada dalam keadaan baik.

Selepas letupan berlaku, Mark terus berlari mendapatkan Youngjae yang  berjalan terhuyung-hayang sambil memegang dadanya dan memapah vokalis itu ke pentas utama untuk diperiksa.

Tidak lama kemudian, penyanyi itu kembali pulih dan menerima pelukan daripada Got7.

Menurut peminat yang berada di tempat kejadian, Youngjae mengalami sedikit kecederaan dan terdapat kesan luka terbakar pada lengannya, namun tetap meneruskan persembahan.

Berikutan insiden itu, akaun Instagram Youngjae dibanjiri permohanan maaf daripada peminat Filipina atas insiden yang berlaku.

Dalam pada itu, Youngjae juga telah memuatnaik satu video yang mengatakan keadaanya semakin pulih dan berterima kasih atas doa yang diberikan oleh peminat-peminatnya.


Susunan: Mya Amri

Sumber: Allkpop, Instagram Youngjae, Twitter peminat


Artikel Berkaitan