Wasinah Cekal Komersilkan Tuhau Sebagai Sumber Bisnes Makanan

18 November 2015. 10.42 AM
2,441
Advertorial
Wasinah Cekal Komersilkan Tuhau Sebagai Sumber Bisnes Makanan

Pelbagai jenis pucuk atau tumbuhan yang boleh dijadikan bahan makanan. Salah satunya daripadanya adalah Tuhau iaitu sejenis tumbuhan menyerupai pokok Kantan merupakan spesies asli yang tumbuh meliar di negeri Sabah sahaja.

Seorang penduduk di Kampung Kumawanan iaitu Puan Wasinah Kuntagil mengambil inisiatif menjadikan tumbuhan itu sebagai produk makanan melalui variasi serunding, sambal, kerabu, salad dan jeruk.

Wasinah yang dahulunya pernah bertugas sebagai guru agama Islam di Ranau mula bekerja sendiri sejak 2002 dan menyertai program usahawan Sabah pada 2005. Kini memberi fokus kepada makanan tradisional orang Dusun yang halal dan selamat, beliau cuba mengkomersilkan serunding Tuhau ke pasaran melangkaui negeri Sabah.

Selain rasanya yang sedap, Tuhau juga dipercayai mempunyai khasiat kesihatan tetapi usaha merekodkan kandungan nutrisi produk tersebut masih belum disiapkan sepenuhnya.

Dengan pokok Tuhau banyak tumbuh meliar sekitar kampunganya, Wasinah yakin tiada masalah mendapatkan bahan mentah, selain usaha beliau sendiri mengajak penduduk kampong menjadikan pokok tersebut sebagai tumbuhan terpelihara dan dijaga rapi untuk dikomersilkan sebagai produk herba.

Namun, disebabkan kekurangan modal, beliau hanya membuat pengeluaran secara kecil-kecilan di rumahnya bersama suami dan anak-anak mengikut permintaan penduduk setempat.

Walaupun serunding Tuhau keluarannya dapat bertahan sehingga enam bulan, Wasinah masih terus mengkaji bagaimana untuk membolehkan produk keluarannya tahan lebih lama dan boleh dinikmati sepanjang masa dan bukan hanya pada musim perayaan.

Ditanya mengenai perancangan jangka panjang, beliau menyatakan hasrat membuka kilang pemprosesan Tuhau seterusnya menawarkan peluang pekerjaan kepada ibu-ibu dan remaja kampung.

Beliau juga berharap produk berasaskan Tuhau dapat menembusi pasaran antarabangsa melalui pemprosesan, pembungkusan dan menyenaraikan kandungan nutrisi lengkap dan lebih sistematik.

Dalam pada itu, Wasinah juga mahu status halal produknya diperakui memandangkan pendaftaran produk halal memerlukan tempat dan tapak pemprosesan khusus untuk produk berkenaan.

Melihatkan potensi produk Tuhau untuk di komersilkan, beberapa panduan dikongsi wakil agensi kerajaan berkaitan bagi memudahkan Wasinah membangunkan industri Tuhau di Sabah.


Artikel Berkaitan


Komen