#JuaraParodi: Afdlin Shauki Gembira Peserta Dapat Rentak

23 November 2015. 2.01 AM
4,163
Hiburan
#JuaraParodi: Afdlin Shauki Gembira Peserta Dapat Rentak

Penerbit dan juri tetap #JuaraParodi, Afdlin Shauki gembira barisan peserta sudah mula mendapat rentak di minggu ketiga program realiti tersebut.

Selepas melalui dua minggu persembahan pengenalan, 10 kumpulan yang bertanding telah mula menunjukkan kebolehan masing-masing di konsert minggu ketiga Jumaat lalu.

"Secara keseluruhan, saya sangat berpuas hati dengan persembahan minggu ini. Ada kumpulan yang betul-betul bersinar, ada juga yang telah mula menunjukkan taring.

"Saya rasakan yang semua kumpulan telah mendapat rentak dan menonjolkan kebolehan masing-masing dalam #JuaraParodi.

“Saya mengharapkan persaingan yang lebih sengit untuk minggu seterusnya," kata Afdlin kepada Astro Gempak.

Tambah Afdlin, dia meletakkan kumpulan Abang Face sebagai contoh dalam program ini. Di minggu ketiga, kumpulan Abang Face yang dianggotai oleh Sam Bunkface, Joey dan Shuk SYJ telah berjaya mengungguli tempat pertama.

"Mereka telah mendapat kedudukan tertinggi untuk minggu ketiga ini. Jadi, saya melihat yang Abang Face telah meletakkan satu standard yang tinggi dalam pertandingan ini.

"Mereka juga layak untuk mendapat tempat teratas kerana mempertaruhkan satu persembahan yang bagus dari segi parodi, lagu, penggunaan pentas dan komedi," kata Afdlin lagi.

#JuaraParodi diterajui oleh Najip Ali dan Dina Nadzir selaku pengacara manakala Zainal Abidin dan Afdlin Shauki akan bertindak selaku juri tetap.

#JuaraParodi bersiaran secara langsung di Teater Shah Alam, pada setiap Jumaat, jam 10.00 malam di saluran Astro Warna (132) dan Astro Mustika HD (134) bermula 6 November 2015.

Layari www.juaraparodi.com.my untuk informasi lanjut mengenai #JuaraParodi. Gunakan hashtag #JuaraParodi untuk berinteraksi mengenai program ini di laman sosial.

Teks Oleh: Kamaruddin Razal


Artikel Berkaitan


Komen