Bekas peserta Masterchef Malaysia musim pertama, Nik Michael Imran telah selamat bernikah dengan pasangannya, Siti Nadiah Shahril.

Nik Michael dan Siti Nadiah sah bergelar suami isteri sekitar jam 9 malam tadi (Isnin) di kediaman keluarga pengantin perempuan di Mines, Sri Kembangan.

Bagaimanapun, chef selebriti ini tidak mengundang pihak media ke majlis pernikahan malam tadi dan persandingannya pada hujung minggu ini.

"Memang saya tak jemput media kerana majlis yang diadakan malam tadi bersifat intim, peribadi dan sangat kecil.

“Teman Chef saya pun ada yang tak dapat undangan. Saya ada juga menjemput rakan media tetapi atas kapasiti kawan, bukannya bekerja.

“Terima kasih kepada yang mendoakan kebahagiaan kami," katanya.

Dalam pada itu, Nik Michael sempat berkongsi cerita mengenai detik perkenalannya dan isteri pada tahun 2005.

"Dia sebenarnya cinta pertama saya di sekolah menengah dulu. Biasalah adat bercinta, ada pasang surutnya. Tak sangka cinta kami bertaut kembali selepas sekian lama.

“Hakikatnya dia wanita yang sangat memahami diri saya," ujarnya.

Menurut laporan Berita Harian Online, pasangan pengantin baru ini kini berada di Pulau Langkawi untuk berbulan madu.

Olahan Semula: Hafiza Kamarudin

Sumber: Berita Harian Online