Gegar Vaganza 2 (GV2): Lima Sebab Gegar Vaganza Musim Kedua Jadi Trending

25 November 2015. 1.22 AM
18,528
Hiburan
Gegar Vaganza 2 (GV2): Lima Sebab Gegar Vaganza Musim Kedua Jadi Trending

Setiap minggu program realiti Gegar Vaganza 2 (GV 2) pasti menjadi trending di laman sosial dan menjadi bualan hangat para peminatnya.

Pada konsert minggu keenam baru-baru ini, pengacara GV2 Nabil Ahmad dan Jihan Muse turut mengumumkan rating program ini yang mencecah sehingga 5 juta penonton.

Berbeza dengan musim pertama tahun lalu, impak pertandingan ini lebih terasa kali ini.

Ramai berpendapat GV2 benar-benar berjaya mengembalikan kegemilangan sebahagian besar bintang yang menyertainya.

Berdasarkan perbualan di laman sosial, kami senaraikan lima sebab mengapa GV2 menjadi trending musim ini.

1. Penyertaan penyanyi kelas A

Majoriti peserta tahun ini adalah penyanyi yang berada dalam kelas tersendiri dan bukannya one hit wonder. Kebanyakan daripada mereka punya lebih daripada lima buah lagu yang menjadi siulan ramai satu ketika dahulu. Nama mereka juga bukan calang-calang pada zaman mereka.

2. Siti Nordiana (Nana) dan Faradhiya

Tanpa mengetepikan saingan dan pengaruh dari peserta lain, dua nama ini memberi impak yang bukan sedikit kepada penonton. Ramai yang melihat kedua-dua mereka seperti baharu keluar dari kepompong; Nana berjaya meletakkan dirinya jauh daripada identiti penyanyi remaja, manakala Faradhiya membuatkan penonton kembali mengingati bahawa forte asalnya adalah nyanyian.

3. Nabil dan Jihan

Gandingan dua pengacara ini menerima reaksi yang bercampur baur daripada penonton di peringkat awalnya. Nabil terutamanya, sering dikritik gara-gara sikapnya yang gemar menyampuk ketika juri memberikan komen. Namun hakikatnya, mereka adalah penyumbang kepada kemeriahan GV2. Ini terbukti apabila penonton mula panik selepas pihak produksi menggertak untuk menyingkirkan kedua-dua mereka.

4. Juri
Penglibatan juri juga antara faktor yang membangkitkan 'seri' GV2. Pengarah muzik terkenal, Datuk Ramli MS, pernah digeruni kerana ketegasan dan personalitinya yang nampak garang. Namun itu semua cerita lama kerana semenjak kebelakangan ini, beliau tampak lebih relaks, sekaligus menyerlah sisi humour yang dimilikinya.

5. Pemilihan lagu

Konsep Gegar Vaganza yang lebih mengutamakan lagu-lagu yang pernah popular di era 80an dan 90an sememangnya menjadi. Lagu-lagu di dua zaman itu kebanyakannya malar segar, dan sudah tentu membuatkan penonton ternanti-nanti gaya persembahan dan nafas baharu dari peserta yang bertanding.



Olahan Semula: Hafiza Kamarudin

Sumber: Astro Awani


Artikel Berkaitan


Komen