Juara PU 2015, PU Syed Tegaskan Pencetus Ummah Bukan Rancangan Badut

28 November 2015. 8.08 AM
4,937
Salam Muslim
Juara PU 2015, PU Syed Tegaskan Pencetus Ummah Bukan Rancangan Badut

Juara Pencetus Ummah 2015, PU Syed meminta pihak yang mengkritik program dakwah itu sebagai rancangan badut atau sampah supaya mengubah perspektif tersebut.

Sebelum ini, timbul dakwaan mengenai program realiti dakwah yang membadutkan para pesertanya kerana membuat tazkirah dengan lakonan dan sebagainya.

PU Syed yang dtemui selepas Mimbar Akhir Pencetus Ummah berkata, individu yang mengkritik program ini tidak berada dan merasa sendiri suasana dalam Pencetus Ummah.

“Mereka hanya orang luar, tidak tahu dan rasa sendiri apa yang kami pelajari dalam program ini. Saya berharap golongan-golongan ini dapat menilai sesuatu itu dari sudut positif.

“Apa yang kami buat ini adalah satu pendekatan baru dakwah kepada masyarakat. Saya ibaratkan golongan yang mengkritik secara negatif ini sebagai langau, hanya mahu hinggap pada sesuatu yang kotor, tidak mahu kepada yang bersih," tegasnya.

Mengulas mengenai kejayaannya pada Mimbar Akhir Pencetus Ummah 2015 malam tadi, PU Syed berkata kemenangannya itu merupakan ujian dari Allah S.W.T.

“Tujuh minggu belajar dan menuntut ilmu dalam Pencetus Ummah telah membantu saya dari segi penyampaian dan mengubah sikap saya yang pemalu kepada seorang yang berani tampil ke hadapan,” katanya.

Tambahnya, selepas ini dia mahu menjadi pendakwah yang mesra dan dekat dengan masyarakat.

“Harap-harapnya selepas ini saya dapat menjadi seorang pendakwah yang mudah didekati kerana kadang-kadang kita lihat macam ada satu jarak yang membezakan pendakwah dan masyarakat, ini tak sepatutnya berlaku.

“Jadi saya akan gunakan ilmu yang saya pelajari dalam Pencetus Ummah untuk beramal dan berbakti kepada masyarakat”, tambahnya yang kini digelar Syed Tiger.


Artikel Berkaitan


Komen