Kumpulan Abang Face yang dianggotai oleh Sam Bunkface, Joey dan Shuk SYJ rasa tertekan selepas memenangi dua konsert mingguan #JuaraParodi.

Membawakan parodi lagu Knock Knock nyanyian asal Elizabeth Tan untuk minggu pertama dan Teratai nyanyian asal Sweet Charity untuk minggu kedua, Abang Face berjaya berada di kedudukan teratas dan mendahului sembilan kumpulan yang lain.

"Alhamdulillah, persembahan kami diterima dengan baik oleh pihak juri dan penonton. Namun begitu, kami sudah mula rasa tertekan.

"Sejujurnya, kemenangan buat kami rasa begitu kerana kami mahu memberikan yang terbaik di masa akan datang. Jadi kami sedang giat memikirkan apa yang mahu dipersembahan di minggu-minggu akan datang," ujar Joey mewakili kumpulan Abang Face.

Ketika ditanya mengenai proses perbincangan untuk sesebuah lagu, mereka menjelaskan yang tugas Sam adalah lebih kepada susunan muzik manakala Joey dan Shuk lebih kepada penciptaan lirik parodi.

"Secara keseluruhan, persembahan kami setiap minggu adalah atas idea kami bertiga. Saya lebih kepada komposisi lagu kerana setiap minggu, lagu yang diparodikan harus ditukar iramanya.

"Shuk dan Joey pula memberikan idea lirik parodi. Sepanjang proses latihan, kami sama-sama berbincang dan memberikan idea-idea baru untuk memantapkan lagi persembahan," kata Sam.

#JuaraParodi diterajui oleh Najip Ali dan Dina Nadzir selaku pengacara manakala Zainal Abidin dan Afdlin Shauki akan bertindak selaku juri tetap.

#JuaraParodi bersiaran secara langsung di Teater Shah Alam, pada setiap Jumaat, jam 10.00 malam di saluran Astro Warna (132) dan Astro Mustika HD (134) bermula 6 November 2015.

Layari
www.juaraparodi.com.my untuk informasi lanjut mengenai #JuaraParodi. Gunakan hashtag #JuaraParodi untuk berinteraksi mengenai program ini di laman sosial.

Teks oleh Kamaruddin Razal