Jep, Shuib, Rahim Harap Sepahtu Sinar Diterima Pendengar

3 Disember 2015. 12.42 PM
6,884
Hiburan
Jep, Shuib, Rahim Harap Sepahtu Sinar Diterima Pendengar

Stesen Sinar FM kembali dengan pembaharuan dengan memperkenalkan segmen ‘Sepahtu Sinar’ yang dikendalikan oleh tiga pelawak terkenal tanah air iaitu Jep, Shuib dan Rahim menggantikan Raja Azura Salih Yaacob dan Krill.

Perubahan ini dilaksanakan untuk terus kekal mementingkan hiburan yang lebih segar dan menyampaikan informasi mengenai perkembangan kepada para pendengar. 

Menurut Jep Sepahtu, kemunculan Shuib dan Rahim yang turut menjayakan segmen pagi adalah atas permintaannya kepada pihak Sinar FM.

“Pada awalnya tawaran hanya datang hanya untuk saya seorang sahaja, tetapi saya meletakkan syarat mahu digandingkan dengan Shuib dan Rahim kerana sedia maklum kami bertiga sudah mempunyai ‘chemistry’ sejak di  program Maharaja Lawak Mega lagi.

“Alhamdulillah pihak Sinar FM bersetuju dengan permintaan saya untuk memberi kelainan selain suntikan baru untuk segmen pagi,” katanya kepada Astro Gempak.

Jelas Rahim, kemunculan segmen ‘Sepahtu Sinar’ secara tidak langsung memberi kandungan serta wajah baru Sinar FM terutamanya kepada para pendengar.

“Kehadiran kami bertiga memberi wajah baru kepada Sinar FM terutamanya para pendengar. Ditambah pula dengan isi kandungan di Sepahtu Sinar sangat berbeza dengan sebelum ini seperti Pantang Larang Orang Tua (PLOT), Sketsa berabjad, Tiga Serangkai dan meja bulat.

“Kita lari dari konsep adanya karakter-karakter istimewa seperti yang pernah dibawakan sebelum ini. Apa yang kami pastikan adalah lawak-lawak yang bermoral bukan hanya sekadar ketawa kosong tanpa sebarang mesej berguna,” ujar Rahim.

Dalam pada itu, Shuib turut tidak menafikan para pendengar pasti sedikit terkejut dengan perubahan di segmen pagi Sinar FM, namun mereka akan sentiasa mencuba untuk melakukan yang terbaik sepanjang ke udara.

“Tidak dinafikan para pendengar pasti akan rasa sedikit janggal dengan perubahan Sinar FM dan sudah pasti para pendengar akan membuat perbandingan.

“Apa yang boleh kami janjikan, segmen ‘Sepahtu Sinar’ akan sentiasa berikan yang terbaik dan memberi kepuasan kepada pendengar sepanjang segmen kami ke udara,” kata Shuib lagi.

Segmen ‘Sepahtu Sinar’ telah mula ke udara sejak 30 November yang lalu bermula dari jam 6 hingga 10 pagi setiap sepanjang lima hari bekerja.

Teks Oleh: Khalid Rahman


Artikel Berkaitan


Komen