Fad Bocey Beri Sebab Tidak Berkongsi Foto Anak Kembarnya

12 Disember 2015. 8.01 AM
38,633
Hiburan
Fad Bocey Beri Sebab Tidak Berkongsi Foto Anak Kembarnya

Pelawak Fad Bocey memberitahu ada sebab tersendiri mengapa belum berkongsi gambar anak kembarnya untuk tatapan peminat.

Isteri Fad, Nur Syahirah A. Rahman selamat melahirkan bayi lelaki kembar di Darul Ehsan Medical Center (DEMC), Shah Alam pada jam 11.30 pagi semalam.

“Anak kembar saya lahir di minggu yang ke 34 dan masih belum matang. Jadi, mereka ditempatkan di inkubator terlebih dahulu. Sebab itulah saya tidak berkongsi gambar anak-anak saya.

“Mengenai nama pula, saya akan kongsikan kemudian. Buat masa ini, saya mahu memberi tumpuan kepada kesihatan anak kembar saya dan saya mohon doa yang baik-baik untuk mereka,” kata Fad kepada Astro Gempak.

Fad juga sempat bercerita mengenai pengalaman isterinya melahirkan anak kembar mereka.

“Pada awalnya, kami dapatkan nasihat doktor kerana isteri mahu melahirkan bayi secara normal. Namun begitu, kedudukan bayi pertama saya sudah berada di bawah dan bayi kedua sudah berada di atas.

“Untuk mengelakkan isteri saya merasai kesakitan sebanyak dua kali, doktor nasihatkan untuk isteri saya menjalani pembedahan caesarean,” kata Fad lagi.

Mengakui dirinya kekok ketika memegang bayi, Fad bersyukur kerana dia kini telah menggalas tanggungjawab sebagai seorang bapa kepada dua orang anak lelaki.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur, gembira dan tak sangka kerana telah bertukar status sebagai seorang bapa. Perasaan itu berganda apabila dapat mengetahui yang isteri hamil anak kembar

“Sebenarnya, saya rasa agak kekok ketika memegang bayi. Walaupun saya sukakan kanak-kanak, saya tetap rasa takut untuk memegang bayi. Bila sudah ada anak sendiri, saya kena biasakan perkara tersebut dan saya harus menjaga mereka sebagaimana bapa saya menjaga saya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fad tampil sebagai pengacara untuk musim terbaru program Harta Dalam Stor bersama pelakon Zoey Rahman. Fad juga kini sedang bersaing dengan sembilan kumpulan lain dalam rancangan #JuaraParodi.

Menerusi rancangan #JuaraParodi, Fad bergandingan bersama pelawak Abam Bocey dan penyanyi Waris membentuk kumpulan Right Handed.

#JuaraParodi diterajui oleh Najip Ali dan Dina Nadzir selaku pengacara manakala Zainal Abidin dan Afdlin Shauki bertindak selaku juri tetap.

#JuaraParodi bersiaran secara langsung di Teater Shah Alam, pada setiap Jumaat, jam 10.00 malam di saluran Astro Warna (132) dan Astro Mustika HD (134) bermula 6 November 2015.

Layari www.juaraparodi.com.my untuk informasi lanjut mengenai #JuaraParodi. Gunakan hashtag #JuaraParodi untuk berinteraksi mengenai program ini di laman sosial.

Teks Oleh: Muhammad Kamaruddin.



Artikel Berkaitan


Komen