Aktor Bollywood, Shah Rukh Khan menerima tamparan hebat selepas filem terbarunya, Dilwale bakal diboikot para petani di India.

Menurut jurucakap yang mewakili petani di Maharashtra, King Khan tidak menghulurkan sebarang bantuan kewangan sewaktu mereka melalui musim kemarau yang teruk.

“Para petani di Maharashtra sebulat suara mahu memboikot filem terbaru Shah Rukh Khan, Dilwale kerana sikap tiada toleransi terhadap kami. Beliau tidak memberi bantuan kewangan di saat kami memerlukannya.

“Jadi kami mengambil keputusan untuk melarang sama sekali filem tersebut ditayangkan di sini. Shah Rukh Khan memandang mudah terhadap masalah yang dihadapi penduduk di Maharashtra ,” ujar wakil persatuan petani yang diberi nama MSN.

Walau bagaimanapun, Shah Rukh Khan tampil memberi penjelasan mengenai perkara tersebut dan percaya filem tersebut bakal mendapat sambutan yang hebat oleh para peminat.

“Kami telah menghasilkan sebuah filem yang positif, jadi saya rasa orang ramai pasti akan pergi menonton,” jawab Shah Rukh Khan bersahaja.

Sebelum ini, aktor kelahiran New Delhi ini baru sahaja menghulurkan bantuan kewangan sejumlah RM130,000 kepada mangsa korban banjir di Chennai, India.

Olahan Semula: Khalid Rahman

Sumber: Times Of India, NDTV