Aktor dan ahli gusti terkenal dunia, Dwayne “The Rock” Johnson dan kekasih Lauren Hashian selamat menyambut bayi pertama mereka pada Rabu yang lalu.

Menurut sumber terdekat, Dwayne dan Lauren sedikit emosi tetapi gembira dengan kelahiran bayi perempuan mereka serta bersedia untuk memulakan kehidupan baru sebagai ibu dan bapa.

Hujung minggu lalu, Lauren juga seorang penyanyi memuat naik sekeping foto di Instagram meluahkan rasa bersyukur dan berkongsi pengalaman menarik ketika mengandung.

“Saya sangat bersyukur untuk masa yang mengagumkan ini. Merasai pengalaman melahirkan bayi ini sangat menakjubkan.

“Keindahan kitaran hidup dan permulaan sebagai wanita dewasa kini bermula. Seperti kata Dwayne Johnson tiada apa yang lebih membanggakan selain merasai rasa kehadirannya di sekeliling kami!,” dipetik menerusi kapsyennya di Instagram.

Sementara itu, The Rock menerusi temubual bersama majalah Esquire mengakui hubungan antara kekasih dan anak bersama isteri pertamanya sangat akrab.

“Saya tinggal dengan kekasih untuk masa yang cukup lama iaitu hampir 9 tahun. Kami berdua sentiasa meluangkan masa bersama dengan anak perempuan saya Simone. Saya suka dan sentiasa memastikan kami memiliki kehidupan yang sempurna,” jelas The Rock.

Dwayne “The Rock” Johnson sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Dany Garcia pada tahun 1997 sebelum mengambil keputusan untuk berpisah pada 2007. Mereka berdua dikurniakan seorang anak perempuan, Simone Alexandra.

Olahan Semula: Khalid Rahman

Sumber: E Online, Us Magazine