Penyanyi Hazama mengakui dirinya rasa tertekan untuk menjayakan showcase pertamanya, Hazama The Penglipurlara Live at Hard Rock Café Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Ini merupakan showcase pertama sebagai penyanyi solo. Sebelum ini, saya hanya tampil sebagai penyanyi undangan untuk beberapa buah showcase. Jadi tekanan yang saya rasakan berbeza.

“Pihak Hard Rock menawarkan saya untuk mengadakan showcase ini dua bulan sebelum ianya berlangsung, jadi persiapan yang saya lakukan hanya sekejap sahaja kerana saya juga turut terlibat dengan beberapa program lain seperti Mentor Milenia dan Separuh Akhir Muzik Muzik 30,” kata Hazama.

Berjaya mencatatkan sejarah tersendiri dengan kehadiran pengunjung seramai 1,000 orang, Hazama gembira showcase pertamanya mendapat sambutan yang menggalakkan.

“Alhamdulillah, ‘showcase’ pertama saya ‘full house’. Selepas habis sahaja showcase ini, saya rasa lebih bersemangat untuk meneruskan perjuangan dalam bidang muzik.

“Sebelum ini, selepas sahaja memenangi gelaran juara Akademi Fantasia 9, saya belum pernah lagi menggondol sebarang anugerah. Pengunjung yang datang ke showcase saya menjadi kebangkitan saya untuk jadi lebih serius dalam meneruskan kerjaya saya,” kata Hazama lagi.

Dalam showcase pertamanya, Hazama menyampaikan senarai lagu hitnya iaitu Pokok, Cinta Teragung, Malaikat, Sampai Mati, Relakan Jiwa dan banyak lagi.

Hazama turut menjemput Zamani sebagai penyanyi undangan. Bersama vokalis kumpulan Slam, mereka menyampaikan beberapa lagu hit seperti Gerimis Mengundang, Nur Kasih dan banyak lagi.

Teks oleh: Kamaruddin Razal