#JuaraParodi: Sebelum Bergelar Pemenang, Selamba Blur Ditimpa Insiden Buruk

30 Disember 2015. 12.00 AM
51,337
Hiburan
#JuaraParodi: Sebelum Bergelar Pemenang, Selamba Blur Ditimpa Insiden Buruk

Dalam meraikan kejayaan sebagai pemenang untuk minggu kelapan program #JuaraParodi, kumpulan Selamba Blur yang dianggotai oleh Shuib Sepahtu dan Mark Adam telah melalui insiden buruk ketika melakukan persembahan.

Memparodikan lagu balada berjudul Tak Mungkin Kerana Sayang dendangan asal Datin Alyah, kaki Shuib tercedera ketika melakukan persembahan.

“Sewaktu sesi latihan, saya memang merancang untuk membuat aksi slide sambil bermain gitar di atas pentas. Sebelum kami memulakan persembahan, mereka membersihkan dahulu pentas menggunakan mop.

“Dek kerana lantai yang licin, aksi slide saya menjadi sangat laju dan kaki saya hampir terkena api. Akibatnya, kedua-dua kaki saya melecet.

“Namun begitu, kami amat bersyukur kerana di sebalik kejadian yang menimpa, kami berjaya bergelar juara mingguan untuk minggu kelapan #JuaraParodi,” kata Shuib.

Semakin selesa menjalin kerjasama sebagai satu kumpulan, Mark gembira apabila hasil persembahan kumpulan Selamba Blur diterima dengan positif oleh penonton.

“Saya sangat senang hati melihat lagu parodi kami diterima ramai. Usaha kami selama ini akhirnya membuahkan hasil apabila kami berada di kedudukan yang pertama. Kami akan terus berusaha untuk memberikan yang terbaik di minggu yang akan datang,” kata Mark.

#JuaraParodi diterajui oleh Najip Ali dan Dina Nadzir selaku pengacara manakala Zainal Abidin dan Afdlin Shauki bertindak selaku juri tetap.

#JuaraParodi bersiaran secara langsung di Teater Shah Alam, pada setiap Jumaat, jam 10.00 malam di saluran Astro Warna (132) dan Astro Mustika HD (134) bermula 6 November 2015.

Layari www.juaraparodi.com.my untuk informasi lanjut mengenai #JuaraParodi. Gunakan hashtag #JuaraParodi untuk berinteraksi mengenai program ini di laman sosial.

Teks oleh: Kamaruddin Razal




Artikel Berkaitan


Komen