Penyanyi Dayang Nurfaizah mengaku menyanyikan lagu tema bagi filem Langit Cinta terbitan Astro Shaw memberi kelainan buat dirinya.

Menurut Dayang tidak sukar untuknya menyanyikan lagu ciptaan sepenuhnya Nurzaidi Abdul Rahman itu, cuma perlu bermain dengan emosi.

“Muzik video untuk lagu ini sudah pun selesai. Sebenarnya tidak sukar untuk saya buat muzik video ini kerana pengarah hanya mahu saya bermain emosi. Saya perlu rasai kesedihan dan kerinduan dari lirik lagu itu.

“Kalau pengarah pinta saya untuk berlakon dalam muzik video ini memang saya tidak boleh. Susah! Suruh menyanyi, tidak mengapa”, katanya.

Tambah Dayang lebih mengujakan ialah Langit Cinta merupakan lagu tema pertama yang dinyanyikan untuk sebuah filem.

“Sebelum ini saya sudah banyak nyanyikan lagu tema untuk drama. Tetapi ini kali pertama menyanyi lagu tema untuk filem.

“Saya tidak kisah untuk membawakan apa jua lagu tema kerana ini adalah peluang untuk saya ketengahkan lagi nama saya.

“Setiap lagu yang diberi, saya akan nyanyi bersungguh-sungguh, tidak kiralah ia untuk drama atau pun filem. Macam lagu Langit Cinta, saya memang perlu bermain dengan emosi,” ujarnya.

Filem Langit Cinta diarahkan oleh Osman Ali dnegan menampilkan barisan pelakon seperti Keith Foo, Nur Fazura, Farid Kamil, Siti Saleha, Fauziah Ahmad Daud, Datuk Jalaluddin Hassan dan Dian P. Ramlee.

Langit Cinta bakal ditayangkan pada 7 Januari 2016.