Pengasas produk kosmetik Qu Puteh berkata merah jambu bukan warna yang pelik kerana ia sudah lama dipakai kelab bola sepak besar di Eropah.

Tambah Datuk Seri Hasmiza Othman lagi pemain juga akan dilihat lebih segak mengenakan warna tersebut.

"Tidak salah berbuat demikian. Ia warna fenomena di Eropah kerana kelab gergasi seperti Real Madrid turut mengenakan warna merah jambu sebagai warna jersi.

"Kita tengok Cristiano Ronaldo pakai jersi pink, menang lagi, macho pula, pink bermaruah dan memodenkan diri," katanya.

Dia yang juga pemilik Vida Beauty Sdn Bhd turut meminta penyokong bola sepak Kelantan berfikiran positif dengan syaratnya untuk mencantikkan Stadium Sultan Muhammad IV dengan warna merah jambu.

Hasmiza, juga dikenali sebagai Datuk Vida, turut merancang menyediakan ruang khas kepada penyokong wanita di stadium Kota Baru jika Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menerimanya sebagai penaja.

Katanya, penyokong pasukan The Red Warriors (TRW) perlu berani menerima perubahan itu dalam usaha meningkatkan mutu bola sepak negeri.

"Saya ada cita-cita besar terhadap pasukan ini, jadi penyokong kena berani terima perubahan yang pastinya akan menggembirakan mereka dan perubahan ini menjadi mercu tanda kepada Kelantan," katanya.

Olahan Semula: Hafiza Kamarudin

Sumber: mStar Online