Penyanyi Siti Sarah Raissuddin menghadapi kesukaran untuk kembali menyanyi selepas bersalin.

Melahirkan cahaya mata ketiga, Ariq Matin pada 20 November lalu, isteri kepada pelawak Shuib Sepahtu ini tidak pasti bila kesukaran yang dihadapinya itu bakal pulih.

"Setiap kali selepas saya bersalin, saya menghadapi kesukaran untuk menyanyi. Suara saya hilang dan saya tidak dapat menyanyi dengan baik.

"Saya sendiri pun sukar untuk menjangka bila suara saya akan kembali pulih seperti sediakala," kata Sarah.

Menerusi kehadiran dua cahaya mata sebelum ini, Sarah menghadapi perbezaan masa yang berlainan untuk pulih.

“Mengimbas semula pengalaman dengan anak pertama dahulu, saya hilang suara selama empat bulan. Anak kedua pula selama enam bulan.

"Anak yang terbaru ini pula saya tidak tahu berapa lama. Saya sendiri kena benar-benar pastikan suara saya pulih, baru saya fikirkan untuk kembali menyanyi," kata Sarah.

Melihatkan kepada sambutan program Gegar Vaganza 2 (GV2) yang berakhir baru-baru ini, ramai peminat mencadangkan nama Sarah untuk menyertai program tersebut di musim akan datang.

"Sebelum ini, saya pernah ditawarkan untuk menyertai GV2 tetapi saya tidak dapat menerima tawaran tersebut kerana saya sedang sarat hamil anak ketiga.

"Jika tawaran itu datang selepas ini dan keadaan vokal saya sudah pulih seperti sediakala, saya bakal pertimbangkan tawaran tersebut dan akan menyertainya jika semua perkara berjalan lancar," kata Sarah yang ditemui usai program #JuaraParodi minggu Sembilan.

Sarah hadir menyaksikan #JuaraParodi untuk menyokong suaminya, Shuib Sepahtu yang mewakili kumpulan Selamba Blur bersama penyanyi Mark Adam.

#JuaraParodi diterajui oleh Najip Ali dan Dina Nadzir selaku pengacara manakala Zainal Abidin dan Afdlin Shauki bertindak selaku juri tetap.

#JuaraParodi bersiaran secara langsung di Teater Shah Alam, pada setiap Jumaat, jam 10.00 malam di saluran Astro Warna (132) dan Astro Mustika HD (134) bermula 6 November 2015.

Layari www.juaraparodi.com.my untuk informasi lanjut mengenai #JuaraParodi. Gunakan hashtag #JuaraParodi untuk berinteraksi mengenai program ini di laman sosial.

Teks oleh: Kamaruddin Razal