Filem terbaru karya pengarah Osman Ali, Langit Cinta bakal menemui penonton pada 7 Januari ini.

Gandingan barisan pelakon seperti Farid Kamil, Keith Foo, Nur Fazura, Siti Saleha dan Fauziah Datuk Ahmad Daud bakal membuatkan penonton turut sama merasai emosi yang dibawakan oleh watak lakonan mereka.

Malah untuk mendapatkan hasil yang terbaik, pelbagai dugaan ditempuhi oleh para pelakon dan juga kru produksi sewaktu proses pembikinan filem tersebut antaranya masalah cuaca.

Di sini Astro Gempak kongsikan beberapa fakta menarik mengenai filem Langit Cinta:

1. Langit Cinta diinspirasikan dari kisah sebenar ibu bapa pengarah Osman Ali.

2. Menjalani penggambaran di beberapa lokasi menarik seperti Langkawi, Sabah dan Lembah Klang.

3. Hujan lebat merupakan cabaran terbesar filem ini di mana penggambaran yang sepatutnya siap dalam tempoh 35 hari, terpaksa dilanjutkan sehingga 50 hari!

4. Lagu tema Langit Cinta merupakan ost filem pertama Dayang Nurfaezah sepanjang kerjayanya sebagai penyanyi.

5. Filem pertama yang diadaptasi kepada novel dengan judul yang sama.

6. Farid Kamil sanggup berjemur di tengah laut lebih dari satu jam semata-mata untuk menjayakan watak sebagai seorang nelayan. Farid mengambil inisiatif tersebut kerana kulitnya cerah tidak sesuai untuk watak ‘Budiman’ seperti yang digambarkan oleh pengarah, Osman Ali sebagai pemuda berkulit sawo matang.

7. Antara lakonan paling mencabar buat Farid Kamil kerana Budiman banyak bermain dengan emosi.

8. Ini merupakan kali pertama Fazura melakonkan watak sebagai gadis kampung. Sebelum ini Fazura terkenal dengan watak gadis urban.

9. Untuk lebih menjiwai watak khadejah, Fazura telah diberi tunjuk ajar oleh Fauziah Datuk Ahmad Daud (kak Ogy).

10. Walaupun Langit Cinta masih belum ditayangkan namun hashtag #teambudiman dan #teamaliff sudah pun diwujudkan oleh peminat yang tidak sabar untuk menonton filem tersebut. Menarik bukan?

Sinopsis

Langit Cinta mengisahkan percintaan antara Aliff Zulkarnain (Keith Foo) dengan Khadejah (Fazura). Aliff adalah anak yang patuh kepada ibu bapa sejak kecil dan mewarisi perniagaan korporat keluarga. Ketika mahu membangunkan resort di Pulau Perindu, dia jatuh cinta dengan gadis kampung bernama Khadejah

Dia juga mula mengenali erti kehidupan sebenar dan belajar memahami bahawa kesederhanaan itu indah. Biarpun hubungannya ditentang keluarga, namun Aliff nekad memperisterikan Khadejah. Bermula dari situ, kehidupan Aliff dirundung pelbagai dugaan dan cabaran demi cabaran harus ditempuh dalam hidup dua insan itu.

Langit Cinta akan mula menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia pada 7 Januari 2016.

Teks Oleh: Mya Amri