Aktor berketurunan cina, Keith Foo mengaku terpaksa mengambil ubat semasa penggambaran Langit Cinta kerana mabuk laut.

Menurut aktor tersebut dia tidak mempunyai masalah dengan laut tetapi mabuk ketika ombak kuat.

“Saya seronok buat babak itu, tapi ombak sangat kuat menyebabkan saya mabuk laut dan terpaksa ambil buat.

“Nak dijadikan cerita saya tersalah makan ubat dan alah padanya sampai muntah teruk serta muka jadi bengkak. Tapi, nasib baik tak melarat dan dapat dikawal,” katanya.

Tambah Keith, biarpun berdepan cabaran ketika penggambaran ia adalah kenangan manis buat dirinya.

“Selama dua bulan saya dan pelakon-palakon lain serta krew Langit Cinta bersama untuk pembikinan filem ini.

“Banyak waktu kami luangkan bersama, tambah-tambah lagi penggambaran di jalankan di Pulau, secara tidak langsung kami hanya ada satu sama lain sahaja.

“Kami banyak berkongsi idea dan berbincang tentang banyak benda. Osman Ali juga banyak membantu dengan memberi pandangan tentang pembangunan dan perjalanan watak kami,” ujarnya.

Selain Keith Langit Cinta turut dibintangi oleh Nur Fazura, Farid Kamil, Siti Saleha, Ogy Ahmad Daud, Datuk Jalaluddin Hassan dan pendatang baru Nadzmi Adhwa.

Filem arahan Osman Ali ini akan mula menemui peminat di pawagam seluruh Malaysia bermula 7 Januari ini.

Sinopsis

Langit Cinta mengisahkan percintaan antara Aliff Zulkarnain (Keith Foo) dengan Khadejah (Fazura). Aliff adalah anak yang patuh kepada ibu bapa sejak kecil dan mewarisi perniagaan korporat
keluarga.

Ketika mahu membangunkan resort di Pulau Perindu, dia jatuh cinta dengan gadis kampung bernama Khadejah. Dia juga mula mengenali erti kehidupan sebenar dan belajar memahami bahawa kesederhanaan itu indah.

Biarpun hubungannya ditentang keluarga, namun Aliff nekad memperisterikan Khadejah. Bermula dari situ, kehidupan Aliff dirundung pelbagai dugaan dan cabaran demi cabaran harus ditempuh dalam hidup dua insan itu.