Kumpulan Skru yang dianggotai oleh Sherry Alhadad, Zulin Aziz dan Zahid Baharudin menamatkan perjalanan mereka di minggu kesepuluh program #JuaraParodi.

Mempersembahkan parodi lagu Andaiku Bercinta Lagi nyanyian asal kumpulan Mojo, Skru beranggapan yang rezeki mereka di #JuaraParodi terhenti di minggu ini.

“Untuk kumpulan kami yang underdog dan pertama kali menyertai pertandingan realiti seperti ini, kami sudah menjangkakan penyingkiran. Namun begitu, kami tetap berusaha dan memberikan sehabis baik setiap minggu, tetapi bukan rezeki kami untuk mara peringkat seterusnya.

“Bersaing dengan kumpulan-kumpulan lain yang lebih hebat dan berpengalaman membuatkan kami berusaha bersungguh-sungguh pada setiap minggu dalam memberikan persembahkan mantap kepada penonton program #JuaraParodi,” kata Sherry kepada Astro Gempak.

Sepanjang penglibatan mereka dalam #JuaraParodi, kumpulan Skru juga banyak belajar perkara baru daripada kumpulan-kumpulan lain.

“Kami belajar banyak perkara. Persekitaran yang berbeza, belajar apa itu team work, kami merasai semangat kekeluargaan dan sifat tolong menolong antara satu sama lain timbul tanpa paksaan.

“Terima kasih atas sokongan semua peminat di luar sana. Kami ingin memohon maaf atas segala kekurangan yang kami lakukan. Sejujurnya, kami telah berusaha sehabis baik tetapi bukan rezeki kami untuk bersaing dengan kumpulan lain di peringkat separuh akhir,” kata Zulin pula.

Selain kumpulan Skru, kumpulan Senaman yang dianggotai oleh Azlee Senario bersama Firman Bansir dan kumpulan Cuba Teka yang dianggotai oleh Rahim R2 bersama Tomok juga tidak berjaya ke peringkat separuh akhir.

Kumpulan Abang Face, Kobis Pedas, Slumber Blur, Righthanded, Black Dot Chey, Mawi & The Loyar dan Juri pula bakal bersaing di pentas separuh akhir pada 15 Januari ini bagi merebut tempat untuk ke pertandingan akhir.

#JuaraParodi diterajui oleh Najip Ali dan Dina Nadzir selaku pengacara manakala Zainal Abidin dan Afdlin Shauki bertindak selaku juri tetap.

#JuaraParodi bersiaran secara langsung di Teater Shah Alam, pada setiap Jumaat, jam 10.00 malam di saluran Astro Warna (132) dan Astro Mustika HD (134) bermula 6 November 2015.

Layari www.juaraparodi.com.my untuk informasi lanjut mengenai #JuaraParodi. Gunakan hashtag #JuaraParodi untuk berinteraksi mengenai program ini di laman sosial.

Teks oleh: Kamaruddin Razal