Cef selebriti terkenal tanah air, Datuk Fazley Yaakob menjelaskan dia bakal mengembangkan perniagaan Restoran Suka Sucre miliknya di Singapura tidak lama lagi.

Menurut bekas juara program realiti masakan MasterChef Selebriti Malaysia itu, ramai pihak yang memintanya supaya membuka cawangan Suka Sucre di Singapura.

“Ramai orang tanya bila restoran saya nak berkembang sebab Suka Sucre sangat pula di Singapura. Jadi saya dalam proses perancangan untuk ada perkongsian perniagaan dengan sebuah syarikat di sana untuk buka cawangan di sana.

“Ada juga yang mencadangkan untuk saya buka di Brunei, tetapi saya perlu buat perancangan terlebih dahulu, Insya Allah,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran program realiti ‘Semanis Fondant’ di Restoran Suka Sucre, Kuala Lumpur.

Perkembangan lain, Fazley bakal muncul dengan single terbarunya berjudul ‘Mahligai Asmara’ Mac ini.

“Saya ingat nak lari dari perkataan asmara untuk single terbaru. Tetapi apabila buat kajian secara online ramai pula peminat yang minta saya kekalkan.

“Sebelum ini pun tajuk lagu saya ‘Asmara ini’ dan ‘Cerita Asmara’ mendapat sambutan oleh peminat. Lagu ini bakal dimuatkan dalam album terbaru saya yang mengandungi lapan buah lagu dan empat secara secara online,” ujarnya mengakhiri perbualan.

Teks Oleh: Khalid Rahman