Pelakon utama Ola Bola, JC Chee terpaksa meninggalkan dunia peragaan kerana sedar kerjaya tersebut tidak akan bertahan lama.

"Selepas tamat belajar di universiti, saya menceburi bidang peragawan di Singapura selama tiga bulan dan berhijrah di Taiwan.

"Di sana saya fikir kerjaya sebagai peragawan tidak akan bertahan lama. Jadi saya ambil keputusan untuk menceburi bidang lakonan,” kata JC Chee ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem tersebut di GSC Times Square.

Jejaka kelahiran Chuping, Perlis ini berkata jika berpeluang dia berminat untuk menembusi pasaran filem Melayu walaupun masih belum yakin sepenuhnya.

“Kalau ada peluang harap-harap boleh saya berminat untuk menembusi pasaran filem Melayu. Tetapi saya harus memperbaiki pertuturan dalam Bahasa Melayu terlebih dahulu,” ujarnya.

Tambahnya lagi, kemampuan bertutur dalam loghat utara memberi kelebihan untuk dirinya menceburi dunia lakonan di Malaysia.

"Saya rasa kebolehan bertutur dalam loghat utara adalah kelebihan saya. Di kampung saya memang bercakap dalam loghat utara. Tambahan saya bersekolah dan bergaul dengan orang Melayu,” katanya.

Dalam pada itu, JC Chee melihat filem Ola Bola bukan sekadar sebuah filem mengenai sukan bola sepak sebaliknya perpaduan di antara bangsa Melayu, Cina dan India di Malaysia.

“Saya harap filem ini mampu pergi sehingga ke peringkat antarabangsa. Harapan saya supaya orang luar Nampak Ola Bola bukan hanya mengenai bola sepak tetapi juga kehidupan rakyat Malaysia yang berbilang kaum,” katanya lagi.

Filem Ola Bola arahan Chui Keng Guan mengisahkan zaman kegemilangan pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia yang berjaya memasuki Sukan Olimpik Moscow 1980 dibintangi oleh JC CHee, Luqman Hafidz, Saran Kumar Manokaran, Marianne Tan Katrina, Bront Palarae dan Frankie Lee. Ia bakal ditayangkan serentak di pawagam seluruh negara pada 28 Januari ini.

Teks Oleh: Khalid Rahman