Nur Fazura Doakan Kebahagiaan Shaheizy Sam & Syatilla Melvin

14 Januari 2016. 3.49 AM
29,337
Hiburan
Nur Fazura Doakan Kebahagiaan Shaheizy Sam & Syatilla Melvin

Pelakon filem Langit Cinta, Nur Fazura mendoakan kebahagiaan aktor Shaheizy Sam yang bakal menamatkan zaman solo tidak lama lagi.

Sam yang pernah dikaitkan dengan Fazura akan mendirikan rumah tangga dengan kekasihnya, aktres baru Syatilla Melvin pada 8 Februari ini.

"Saya gembira apabila mendengar berita yang Sam bakal mendirikan rumah tangga dengan Syatilla. Saya mendoakan kebahagiaan rumah tangga mereka sehingga ke anak cucu.

"Saya percaya yang kita semua wajar bahagia apabila melihat orang lain bahagia. Kisah saya dan Sam adalah sesuatu yang sudah lama berlalu. Saya bukan untuk dia, dia juga bukan untuk saya. Jadi, saya gembira apabila melihat dia bahagia," kata Fazura.

Ketika ditanya adakah dia bakal menghadiri majlis perkahwinan mereka, pelakon filem Kami Histeria itu menjelaskan yang dia akan hadir jika mendapat undangan.

"Jika mendapat jemputan, Insya-Allah saya akan hadir," jawabnya ringkas ketika ditemui di majlis pelancaran album terbaru kumpulan Estranged.

Menerusi album terbaru Estranged yang berjudul Sepenuhnya Vol. 1 itu, Fazura berkolaborasi dengan Estranged menerusi sebuah lagu yang berjudul Hancur Aku.

"Saya memang meminati kumpulan Estranged. Apabila mereka datang dengan tawaran untuk melakukan kolaborasi menerusi lagu Hancur Aku, saya sendiri rasa terkejut.

"Estranged banyak memberikan panduan untuk saya menyanyikan lagu ini. Saya tidak boleh melepaskan peluang ini dan menganggap ianya sebagai satu perkara yang luar biasa," kata Fazura.

Bercakap mengenai kerjaya nyanyiannya, Fazura memberitahu yang dia sedang dalam rencana untuk menerbitkan album solonya tidak lama lagi.

Teks oleh: Kamaruddin Razal

Kredit foto: NST & Instagram @missfazura


Artikel Berkaitan


Komen