Tiada Lagi Profesor Snape Harry Potter, Selamat Tinggal Alan Rickman

15 Januari 2016. 1.20 PM
5,296
Hiburan
Tiada Lagi Profesor Snape Harry Potter, Selamat Tinggal Alan Rickman

Pelakon veteran yang terkenal menerusi watak Profesor Snape dalam siri filem popular Harry Potter, Alan Rickman dilaporkan meninggal dunia akibat kanser.

Berita itu disahkan sendiri oleh ahli keluarganya malam semalam (Khamis).

Kematian aktor berusia 69 tahun itu amat mengejutkan industri hiburan termasuklah para peminatnya di seluruh dunia.

Penulis buku  Harry Potter, JK Rowling meluahkan rasa sedih menerusi akaun twitternya.

“Tiada kata-kata untuk menyatakan bagaimana terkejutnya  saya untuk mendengar berita kematian Alan Rickman ini. Dia adalah seorang pelakon yang hebat & seorang lelaki yang baik.” tulisnya.

Malah pelakon utama filem tersebut, Daniel Radcliffe juga membuat coretan penuh emosi terhadap mendiang Alan.

“Saya akan sentiasa ingat segala ajaran yang diberikan kepada saya untuk sepanjang kehidupan. Dia juga sering memberikan sokongan dan galakan kepada saya.

“Sebagai seorang pelakon dia merupakan orang pertama yang melayan saya seperti rakan sebaya dan bukannya kanak-kanak sewaktu penggambaran filem Harry Potter.

“Beliau merupakan antara pelakon hebat dalam industri perfileman. Kini filem dan pentas teater telah kehilangan seorang pelakon hebat.”
tulisnya.

Sehingga kini, nama mendiang Alan Rickman menjadi trending worldwide di Twitter bermula semalam.

Rickman pernah memenangi anugerah Golden Globe, Emmy, dan British Academy Film Award (Bafta) selain sering memegang watak jahat.

Susunan Oleh: Mya Amri

Sumber: The Guardian, BBC.Com


Artikel Berkaitan


Komen