Hari pertama Konsert Mega Gegar Vaganza yang berlangsung di Istana Budaya malam tadi (Jumaat), gamat dengan kehadiran pemain bola sepak Kelantan, Pamoga Qu Puteh TRW.

Pentas Panggung Sari semakin panas apabila kesemua pemain diminta mengikut gaya yang dilakukan penaja Datuk Seri Vida, dengan menyebut "Qu Puteh Qu Puteh Barulah Puteh".

Tidak mengecewakan kerana wira skuad Pamoga Qu Puteh TRW sporting meniru aksi Datuk Seri Vida dan menyebut tagline Qu Puteh penuh semangat.

Penonton turut bangun memberikan penghormatan kepada TRW sebaik sahaja mereka selesai menyebut tagline Qu Puteh.

Sementara itu gaya spontan pengacara konsert, Nabil Ahmad yang mengusik penjaga gawang TRW, Apek, menggamit tawa penonton.

Jihan Muse pula terkedu di atas pentas selepas melihat Wan Zack Haikal, Muslim, Piya, Apek dan lain-lain berdiri di hadapannya.

Turut hadir, presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Anuar Musa bersama delegasinya.

TRW telah menerima tajaan sebanyak RM20 juta oleh syarikat Vida Beauty Sdn Bhd pada musim ini.

Pengasas Vida Beauty, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman (Datuk Seri Vida) sebelum ini mengeluarkan kenyataan akan membelanjakan RM20juta bagi memastikan skuad Pamoga Qu Puteh TRW berada pada prestasi terbaik dalam tempoh dua musim, bermula musim ini.