Estranged Yakin Fazura Boleh Menyanyi

17 Januari 2016. 12.15 PM
3,840
Hiburan
Estranged Yakin Fazura Boleh Menyanyi

Kumpulan rock Estranged yang dianggotai oleh Rich (vokalis), Din (gitar) dan Hanafi (gitar) yakin dengan kebolehan nyanyian aktres filem Langit Cinta, Nur Fazura.

Muncul dengan album terbaru selepas empat tahun menyepi, Estranged turut memuatkan sebuah lagu duet bersama Fazura yang berjudul Hancur Aku.

"Fazura merupakan seorang pelakon terkemuka yang kini sedang mengorak langkah dalam bidang nyanyian. Kami yakin yang Fazura boleh menyanyi.

"Kami mencubanya dalam lagu Hancur Aku dan ternyata lagu tersebut merupakan sebuah kombinasi yang sangat menarik. Lagu ini juga merupakan kolaborasi pertama buat Estranged," kata Din membuka bicara.

Menerusi album yang berjudul Sepenuhnya Vol. 1, ia memuatkan lima buah lagu baru dan album ini juga merupakan album studio keempat bagi kumpulan Estranged.

"Selepas menyepi selama empat tahun, kami muncul kembali dengan buah tangan terbaru. Kami boleh katakan yang kemunculan ini bagaikan satu penjenamaan semula bagi kumpulan Estranged," kata Hanafi pula.

Tambah Rich, album ini memaparkan muzik dan lagu yang lebih bersesuaian untuk khalayak ramai.

"Kami kembali dengan sesuatu yang segar dan baru. Jika dulu rock kami agak keras, kini rock yang ditonjolkan berbeza. Muzik kami juga lebih matang dan album ini menonjolkan sisi baru kumpulan kami," kata Rich mengakhiri temubual.

Teks oleh: Kamaruddin Razal



Artikel Berkaitan


Komen