Selebriti yang terkenal dengan kelancangan mulutnya, Azwan Ali bakal berhadapan tindakan saman kerana mengutuk jenama kicap di Instagramnya baru-baru ini.

Sebelum ini, Azwan di dalam Instagramnya memuat naik komen dan juga video berupa provokasi ke atas iklan komersil Kicap Tirana yang ditayangkan di televisyen dengan menampilkan Aznil Nawawi.

Malah Azwan juga turut mengajak pengikut Instragramnya bersama-sama mengutuk iklan tersebut dengan menawarkan rendang buatannya secara percuma.

Pemilik bersama syarikat Tirana Products Sdn Bhd, Dr Hilmi Murad Mohamed berkata, tindakan Azwan memberikan impak yang buruk kepada syarikat mereka dan mengharapkan agar pihak plaintif dapat mengambil langkah untuk menjernihkan kembali keadaan.

Menyifatkan kenyataan-kenyataan dikeluarkan Azwan di laman Instagram itu sebagai melampau, Hilmi mendakwa tahu mengenai perkara tersebut selepas tiga hari iklan mereka disiarkan di televisyen pada hujung tahun lalu.

“Komen-komen yang diberikan agak pedas dan agak melampau. Kalau pun iklan saya itu teruk, tetapi ada cara untuk kita tegur. Tegur dengan cara beradab, kita orang Melayu dan kita beragama Islam..kita ada cara yang lebih beradab.

“Komen-komen sedemikian tidak mencerminkan peribadi yang baik, dan tidak mencerminkan imej yang baik, dan seterusnya kesan kepada kami mencerminkan imej yang buruk dan juga peribadi yang buruk terhadap jenama kami.

“Kami tidak boleh menerima dalam keadaan macam itu,” katanya.

Dalam masa itu, Hilmi menjelaskan bahawa Datuk Aznil Nawawi bukanlah duta kepada produk berkenaan sebaliknya Aznil hanya terlibat sebagai pelakon di dalam iklan komersil terbabit.

“Dia bukan duta tapi dia terlibat dalam mempromosi iklan kita, jadi jumpa tak jumpa soal syarikat, untuk isu ini tiada perjumpaan dengan Pak Nil,” tambahnya.

Sehubungan itu, satu tuntutan saman terhadap Azwan telah dikeluarkan sekiranya selebriti tersebut tidak menarik balik kenyataan yang mencemarkan imej syarikat terbabit, sebelum 26 Januari ini.

Menurut peguam yang mewakili syarikat berkenaan, Adnan Seman, pihak beliau telah memberikan notis tuntutan kepada Azwan pada 12 Januari yang lalu dengan beberapa tuntutan yang antaranya ialah menarik semula kenyataan dan video-video yang dimuat naik di laman sosial Instagramnya dalam tempoh 14 hari selepas menerima notis tersebut.

“Pada 12 Januari kita sudah keluarkan satu surat tuntutan yang mana berkaitan dengan banyak kenyataan yang dikeluarkan oleh Azwan Ali melalui akaun Instagram beliau menggunakan nama ‘divaazwanavazz’.

“Tuntutan ini selama 14 hari untuk beliau secara ringkasnya pertama untuk mengeluarkan satu kenyataan permohonan maaf secara bertulis dan kepada anak guam kami dan juga untuk mengeluarkan satu akujanji untuk tidak lagi mengeluarkan sebarang kenyataan ataupun video yang tidak benar serta bersifat fitnah terhadap produk keluaran anak guam kami.

“Kita juga menuntut permohonan maaf secara bertulis yang disiarkan dalam satu akhbar tempatan. Notis 12 Januari telah dikeluarkan dan beliau juga di Instagram telah memaklumkan telah menerima notis tuntutan dan beliau nampaknya bersedia untuk disaman.

“Di pihak kami memberikan beliau 14 hari maka Azwan ada masa sehingga 26 Januari ini untuk memberikan jawapan dan memenuhi tuntutan yang kami buat, sekiranya beliau tidak memenuhi tuntutan yang diberikan saya akan berbincang semula dengan anak guam sama ada ingin meneruskan saman atau tidak,” katanya di dalam sidang media pada Isnin.

Sumber: The Rakyat Post