Kumpulan Spin kembali dengan single terbaru berjudul Sakit Terpanah selepas pemergian vokalis mereka, Achik lima tahun lalu.

Bakal dilancarkan pada awal tahun ini, salah seorang anggota kumpulan Spin, Aie menafikan dakwaan menumpang populariti juara Gegar Vaganza 2 (GV2) Siti Nordiana.

“Kami dah buat comeback pada hujung 2014, sebelum Nana sertai program Gegar Vaganza 2 lagi.

“Kami juga ada showcase beserta road tour di beberapa tempat untuk memperkenalkan vokalis terbaru Spin, Awis.

“Secara kebetulan pula pada hujung tahun lepas Nana pula masuk GV2 dan popularitinya mendadak naik menerusi lagu Memori Berkasih.

“Secara jujurnya kami tidak mempunyai masalah tentang perkara itu dan secara tak langsung orang kembali mencari lagu Spin.

“Tak dinafikan ada sesetengah pihak yang mendakwa Spin menumpang populariti Nana namun secara hakikatnya sebelum Nana masuk GV2, kami dah keluar dengan single baru dan dimainkan di radio.

“Jadi tak ada soal siapa tumpang populariti siapa, ia hanya kebetulan dan kami pun tak rancang perkara ni terjadi. Mungkin ini rezeki untuk kedua belah pihak menerusi lagu Memori Berkasih,” jelasnya ketika ditemui di majlis pelancaran single terbaru kumpulan Spin Sakit Terpanah di Nu Sentral, Kuala Lumpur pada Ahad.

Mengulas mengenai single terbaru, Aie atau nama sebenarnya Wan Mohd Zuhairi Wan Mohd Zain memberitahu Spin mengambil masa selama lima tahun mencari vokalis yang sesuai untuk kumpulan tersebut.

“Lima tahun itu agak lama dan sepanjang tempoh tersebut kami telah mengadakan dua kali sesi uji bakat untuk mencari vokalis yang sesuai selepas pemergian arwah Achik.

“Awis dipilih bukan sebab dia merupakan adik kepada arwah tetapi kerana dia telah memenuhi ciri-ciri yang kami perlukan selain memahami perjuangan Spin. Sebelum dipilih, Awis juga telah hadir ke sesi uji bakat sama seperti calon-calon yang lain." ujarnya.

Selain itu, Aie juga berharap kemunculan semula kumpulan Spin mendapat sokongan peminat dan memeriahkan lagi industri hiburan tanah air.

Kumpulan Spin pernah popular menerusi lagu Janji Kita, Mengusung Rindu, dan Hadirlah Mustika.

Spin kini dianggotai oleh Awis (Vokalis), Raymie (Pemain Bes), Fidaz (Dram), Shah (Gitaris) dan Aie (Gitaris).

Allahyarham Achik Spin meninggal dunia dalam satu kemalangan ngeri di KM 14 Lebuh Raya Kajang Seremban (Lekas) selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) terbabas setelah melanggar papan tanda.

Teks Oleh: Mya Amri