Selepas kemangkatan Tunku Alif Hussein, dua kekanda Almarhum iaitu Tunku Besar Seri Menanti, YAM Tunku Ali Redhauddin Muhriz dan Tunku Zain Al-‘Abidin Muhriz telah berkongsi perasaan mereka.

Kedua-duanya amat merindui Almarhum adinda mereka, sehingga berkongsi rasa bersama rakyat menerusi ruangan What You Think di Malay Mail Online baru-baru ini.

Seperti kekandanya, Tunku Zain Al-‘Abidin Muhriz atau Tunku Abidin turut merasai kehilangan Almarhum, sehingga terpanggil untuk menulis serba sedikit kenangan bersama adindanya itu.

Menurut baginda, tiada kata-kata yang dapat diungkapkan selepas pemergian Tunku Alif sebaliknya hanya kenangan yang tinggal sebagai ingatan.

Antara kenangan yang paling indah buat baginda ialah pada 2007 apabila dapat peluang bercuti bersama Almarhum dan keluarga.

“Saya gembira kerana dia (Tunku Alif) dapat menyaksikan sendiri keindahan perairan Mediterranean, belayar bersama, menikmati keindahan taman-taman villa lama yang indah dan landskap yang menarik bersama saya yang kadang-kadang akan menolak beliau di kerusi roda.”

Itu antara tulisan Tunku Abidin yang berkongsi kegembiraanya kerana dapat bercuti bersama Almarhum adinda kesayangannya itu.

Selain itu, antara tulisan baginda yang menyentuh hati ialah apabila menyebut tentang bapa saudara (baginda) yang memberitahu kemangkatan Tunku Alif pada hari yang baik iaitu Jumaat.

“Dalam kereta jenazah dari Seremban ke Seri Menanti, bapa saudara saya (dikenali dalam keluarga sebagai seorang yang arif soal agama) beritahu, Alif meninggal dunia pada hari yang terbaik (Jumaat, sebelum solat) dan sebagai anak istimewa dia dijamin tahap tertinggi syurga.”

Dalam pada itu baginda turut menulis tentang cuaca yang luar biasa pada hari kemangkatan Tunku Alif dan berkongsi tentang perasaannya ketika itu.

Al-Fatihah.


Untuk membaca dengan lebih lanjut, klik link ini.