Penerbit filem dan bintang sukan memberi pujian selepas menonton filem terbaru terbitan Astro Shaw, Ola Bola.

Filem arahan Chiu Keng Guan ini mengisahkan mengenai zaman kegemilangan pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia yang berjaya memasuki Sukan Olimpik Moscow 1980.

Filem yang dibintangi oleh JC CHee, Luqman Hafidz, Saran Kumar Manokaran, Marianne Tan Katrina, Bront Palarae dan Frankie Lee ini bakal ditayangkan serentak di pawagam seluruh negara pada 28 Januari ini.

Astro Gempak sempat mendapatkan komen beberapa penerbit filem dan bintang sukan selepas mereka selesai menonton tayangan perdana filem Ola Bola yang diadakan di GSC, Pavilion Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Datuk Yusof Haslam (Penerbit Skop Production)

Filem Ola Bola merupakan sebuah filem yang baik. Garapan filem ini sangat lengkap dan penceritaan filem ini dipersembahkan dengan sangat teliti. Biarpun berkisarkan mengenai sukan bola sepak, filem ini diceritakan dengan sangat lengkap. Saya beri filem ini 5 bintang!

Shalin Zulkifli (Atlet Bowling Kebangsaan)

Wow, filem ini sangat sempurna di mata saya. Lengkap dari segala aspek, filem ini ada keistimewaan tersendiri, lagi-lagi bagi saya yang bergelar seorang atlet. Hati saya sangat tersentuh selepas menonton filem ini. Saya memberikan filem Ola Bola 6 bintang!

Norman Abdul Halim (Penerbit KRU Films)

Walaupun filem ini berkisarkan mengenai pasukan bola sepak, mesej yang disampaikan lebih dalam daripada itu. Apa yang cuba diterapkan dalam filem ini iaitu 'menang sama-sama, kalah sama-sama' harus diamalkan oleh semua pihak. Saya bagi Ola Bola 5 bintang!

Teks oleh: Kamaruddin Razal