Pelakon terkenal Sinetron, Ashraf Sinclair mengakui sedang mengintai peluang untuk kembali membintangi filem-filem di Malaysia.

Menurut Ashraf, dia teruja melihat perkembangan industri perfileman Malaysia yang semakin positif dan mula mendapat sambutan.

“Saya berminat untuk kembali membintangi filem-filem tempatan kerana banyak perkembangan terbaru dalam industri filem Malaysia. Lebih-lebih lagi saya lihat anak muda di Malaysia mempunyai idea-idea yang cukup bagus. Saya sendiri sangat teruja melihat hasil-hasil kerja pembikin filem tempatan,”katanya kepada Astro Gempak.

Katanya, dia kini mula menolak tawaran berlakon Sinetron kerana mahu memberi fokus kepada bidang perfileman.

“Berlakon dalam Sinetron sungguh memenatkan kerana jadual penggambaran yang cukup lama sehingga jarang berjumpa keluarga. Rasanya saya sudah berlakon hampir 700 episod Sinetron setakat ini.

“Apabila saya berada di set penggambaran banyak perkara yang saya tidak terlepas atau tidak dapat buat. Terutamanya untuk bertemu keluarga dan perniagaan saya. Mungkin pertengahan tahun ini saya tidak mahu terlalu terlibat dengan Sinetron dan fokus pada filem pula,” ujar Ashraf.

Dalam pada itu, Ashraf turut berkongsi rasa bersyukur dengan penglibatan isterinya Bunga Citra Lestari dalam program Maharaja Lawak Mega 2016 (MLM 2016).

“Kami jarang pulang ke Kuala Lumpur kecuali pada Hari Raya Aidilfitri atau Hari Raya Haji. Apabila Bunga menerima tawaran untuk jadi juri di MLM 2016, saya gembira kerana berpeluang untuk berjumpa ahli keluarga pada hujung minggu.

“Peminat juga boleh mengenali Bunga dengan lebih rapat dan dalam pada masa yang sama ia satu peluang untuk isteri saya bertapak di Malaysia,” ujarnya.

Teks Oleh: Khalid Rahman