Pelakon Nas-T mengaku sudah berkahwin dengan selebriti Instagram, Atita Haris Jumaat lalu.

Nas-T bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkahwinan itu dan akan mendedahkan segalanya pada sidang media khas yang bakal berlangsung pada Rabu ini.

"Benar saya dan Atita sudah bernikah Jumaat lalu. Tetapi saya tidak boleh jelaskan dengan lebih terperinci mengenai perkara ini. Tunggu sidang media nanti," katanya seperti yang dilapor mStar Online.

Selain itu, Nas-T atau nama sebenarnya Nas Muammar Zar Nasruddin turut mengubah status profil di akaun Facebook miliknya kepada mod sudah berkahwin.

Dalam pada itu, Nas-T memberitahu dia tidak berniat untuk merahsiakan perkahwinan itu, sebaliknya mahu semua pihak termasuklah pengamal media mendapat tahu serentak menerusi sidang media khas yang akan dianjurkan.

"Kalau boleh saya mahu semua orang mendapat berita ini serentak untuk berlaku adil," ujarnya.

Terdahulu, detik pertemuan Nas- T dan Atita bermula apabila pemilik sebuah produk yang melantik mereka sebagai duta memperkenalkan mereka atas sebab kedua-duanya masih lagi solo pada tahun lalu.

Nas-T sebelum ini pernah menjalinkan hubungan cinta dengan Nabila Huda. Atita pula merupakan seorang janda anak satu.

Sumber: mStar Online