Hujan Tetap Jadi Keutamaan Saya – Noh Salleh

9 Februari 2016. 12.00 AM
2,961
Hiburan
Hujan Tetap Jadi Keutamaan Saya – Noh Salleh

Penyanyi Noh Salleh menjelaskan yang kumpulan Hujan masih menjadi keutamaannya dalam bidang nyanyian.

Walaupun projek solo Noh menerusi album Angin Kencang berjaya membawanya ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu 30 (AJL 30) yang berlangsung baru-baru ini, Noh masih belum mempunyai perancangan spesifik untuk menerbitkan album solo kedua.

“Sama ada tampil secara solo atau berkumpulan, kedua-duanya mempunyai kelebihan tersendiri. Namun begitu, saya akui yang kumpulan Hujan menjadi prioriti saya. Saya bersyukur kerana lagu Angin Kencang berjaya mendapat tempat di hati peminat dan melangkah ke AJL 30.

“Saya ada memikirkan tentang album solo kedua tetapi saya masih belum mempunyai perancangan khusus mengenai perkara tersebut. Kumpulan Hujan juga bakal muncul dengan album kelima tidak lama lagi,” kata Noh kepada Astro Gempak.

Menurut Noh, album terbaru kumpulan Hujan bakal megandungi 12 buah lagu dan menonjolkan pembaharuan mereka dalam bidang muzik.

“Album ini hampir siap dan sedang memasuki proses memasukkan muzik orkestra, mixing dan mastering. Kami tidak mahu mengecewakan peminat dan mahu memberikan yang terbaik kepada semua penggemar kumpulan Hujan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Noh bakal membuat persembahan pembukaan bagi Konsert 20 Tahun Sheila On 7 yang bakal berlangsung pada 27 Mac 2016 di StarXpo Hall, KWC Fashion Mall, Kuala Lumpur.

“Saya merupakan seorang peminat kumpulan Sheila On 7. Sewaktu mendapat tawaran untuk membuka konsert mereka, saya terus bersetuju kerana saya merasakan yang konsert ini pastinya akan menjadi sebuah konsert yang menyeronokkan,” katanya lagi.

Dapatkan tiket Konsert 20 Tahun Sheila On 7 di cawangan Rock Corner dan Victoria Music di Sungei Wang, Amcorp Mall, Tropicana Mall, The Curve, Mid Valley dan Subang Parade. Tiket juga boleh dibeli secara atas talian di laman web www.ilassotickets.com.

Tiket dijual dengan harga RM75, RM110, RM150 dan RM190. Potongan harga sebanyak 10% untuk pelajar melalui belian secara terus di cawangan yang telah ditetapkan dengan menunjukkan kad pelajar sahaja.

Teks oleh: Kamaruddin Razal


Artikel Berkaitan


Komen