Bekas pelajar AF2014, Adel menafikan perampas suami orang seperti yang didakwa oleh sebuah blog hiburan.

Adel atau nama sebenarnya Adeline Joyce Masidah berkata lelaki tersebut mengaku sudah bercerai dengan isterinya ketika mereka berkenalan.

“Bukan saya punca penceraian itu berlaku kerana sewaktu detik perkenalan kami, dia (teman lelaki) sendiri mengaku sudah bercerai dengan isterinya.

“Saya berkawan dengan dia selepas dia bergelar duda dan saya kesal apabila ada yang memfitnah saya sebagai perampas tanpa mengetahui cerita sebenar,” katanya ketika dihubungi Astro Gempak.

Selain itu, Adel juga turut menjelaskan tentang dakwaan keluar masuk hotel bersama lelaki tersebut.

“Saya tak tahu bagaimana gosip tersebut boleh timbul kerana saya tidak pernah melakukan perkara itu seperti yang didakwa.

“Sama juga kesnya seperti mesej aplikasi Whatapps yang disebarkan oleh sebuah blog hiburan yang mengatakan kononnya mesej itu adalah daripada saya.

“Apa yang boleh saya katakan, perkara itu fitnah dan tidak benar sama sekali,” jelasnya.

Terdahulu, Adel dikatakan menjadi punca keretakan rumah tangga seorang kontraktor.

Perkara itu didedahkan oleh sebuah blog hiburan selepas menerima satu kiriman email menunjukkan bukti perbualan Adel bersama teman lelakinya yang merupakan suami kepada seorang wanita berasal dari Johor dan mempunyai tiga orang anak.

Teks Oleh: Mya Amri