Kumpulan Chilok tidak berpuas hati dengan komen juri tetap Maharaja Lawak Mega 2016 (MLM 2016), Najip Ali terhadap mereka.

Menurut Chilok yang dianggotai oleh Chiwan, Achok dan Kamal, penyingkiran mereka di minggu ketiga MLM 2016 berpunca daripada teguran kurang membina oleh Najip.

“Sebelum ini Najip ada beri peringatan 10 saat pertama setiap kumpulan harus ada punchline yang boleh buat penonton gelak. Kami dah buat seperti apa yang diminta.

“Kami sebagai peserta memerlukan komen yang membina daripada barisan juri. Bahagian mana yang kami lemah dan boleh diperbaiki untuk persembahan yang akan datang. Tapi bila juri beri komen seperti yang tidak diharapkan, rasa seakan tidak kena dan buat kami terpinga-pinga,” luah kumpulan Chilok kepada Astro Gempak.

Jelas Chilok, komen Najip seakan menjatuhkan mereka sehingga terpaksa disingkirkan terus dari pentas MLM 2016.

“Pada kami, komen juri sangat penting sebab Chilok merupakan kumpulan yang baru dan kami nampak komen Najip Ali seakan cuba menjatuhkan kami. Tapi apa pun kami percaya kepada rezeki, mungkin bukan di pentas MLM 2016,” kata mereka.

Tambah Chilok lagi, mereka turut terkejut dengan keputusan penyingkiran sedangkan persembahan mereka mendapat komen dan reaksi positif penonton di media sosial.

“Kami lihat komen dari media sosial, ramai yang tak setuju dengan keputusan penyingkiran Chilok kerana sewaktu persembahan penonton beri feedback yang baik. Kalau mereka tidak gelak langsung, ya kami boleh terima jika disingkirkan,” kata Chilok lagi.

Dalam pada itu, Chilok tidak merancang untuk membubarkan kumpulan mereka dan akan tetap bersaing untuk MLM yang akan datang.

“Kami tidak merancang untuk membubarkan kumpulan Chilok kerana ketiga-tiganya sudah ada persefahaman. Jika diberi peluang untuk diterima masuk ke MLM musim hadapan, kami bersedia untuk bersaing kembali.

“Tersingkirnya kami malam ini bukan bermakna kami kalah, mungkin banyak lagi benda yang perlu dipelajari. Sebab nak buat lawak atau berada di pentas komedi bukan sesuatu yang mudah,” jelas Chilok mengakhiri perbualan.

Minggu ketiga MLM 2016 menyaksikan Chilok dan peserta solo Kavin diumumkan sebagai peserta yang tersingkir selepas berada di kelompok tiga terbawah untuk dua kali berturut-turut.

Layari www.maharajalawakmega.com.my untuk info lanjut.

Teks Oleh: Khalid Rahman