Makan Boat Noodle Jumbo Di Jalan Kia Peng, Tapi Rasa Macam Kat Bangkok!

15 Februari 2016. 12.32 PM
7,743
Gaya Hidup
Makan Boat Noodle Jumbo Di Jalan Kia Peng, Tapi Rasa Macam Kat Bangkok!

Jika sebelum ini anda rasa tak puas makan boat noodle dalam mangkuk kecil, jangan susah hati sebab ada restoran yang menyediakannya dalam saiz jumbo!

Little Rara Thai Noodle House yang terletak di sebelah menara HLA iaitu di belakang kawasan parkir terbuka di Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur bakal memberikan anda kepuasan berganda menikmati boat noodle.

Lokasinya mungkin terpencil dan kurang popular tetapi bila mengenangkan boat noodlenya yang lazat tak terkata, anda pasti ingin datang berkali-kali!

Mangkuk besar yang penuh dengan mee serta bebola dan daging super extra membuatkan rasanya lebih mengancam daripada boat noodle biasa.

Keaslian kuahnya membuatkan kita rasa seolah-olah seperti berada di Bangkok ditambah pula dengan dekorasi ala-ala gerai di Thailand.

Pemiliknya seorang Muslim, iaitu Rudi Farique Tawee Mohamed Azmi yang mengusahakan perniagaan tersebut bersama isterinya.

Dia yang berdarah kacukan Siam-Melayu itu muncul dengan kelainan kerana menyedari ramai peminat boat noodle tidak puas menikmati hidangan tersebut di dalam mangkuk kecil.

“Boat noodle ini memang resepi turun temurun daripada keluarga saya di Bangkok dan saya mendapat dorongan untuk membuka perniagaan ini daripada beberapa rakan yang berasal dari sana tetapi sudah pun lama menetap di sini.

“Sebagai penggemar boat noodle saya sendiri rasa tidak cukup puas makan boat noodle dalam mangkuk kecil. Jadi timbullah idea menghasilkan boat noodle dalam mangkuk besar cukup untuk seorang dewasa makan.

“Lagipun ramai yang was-was makan boat noodle sekarang kerana tidak tahu asal usul dan agama pemiliknya. Di gerai saya mereka tidak perlu was-was lagi kerana sebagai orang Islam sudah pasti saya menyediakan boat noodle menggunakan semua bahan yang halal,” katanya.

Selain boat noodle, menu popular yang turut ditawarkan di Little Rara adalah Tom Yam Noodle Soup Seafood serta Daging BBQ. Namun, menu ini hanya mula dijual bermula daripada jam 8 malam ke atas.

Bagi yang ingin merasa kesemua menu ini boleh mengunjungi Little Rara Thai Noodle House ini setiap hari jam 8 malam hingga 12 malam kecuali hari Ahad.



Artikel Berkaitan


Komen