Hanie Soraya Senang Bekerja Dengan Faizal Tahir

16 Februari 2016. 2.56 PM
4,144
Hiburan
Hanie Soraya Senang Bekerja Dengan Faizal Tahir

Penyanyi baru, Hanie Soraya mengakui yang dia senang bekerja dengan penyanyi dan komposer Faizal Tahir.

Muncul dengan single ketiga yang berjudul Pantas, Hanie menyifatkan Faizal adalah seorang mentor yang baik untuk dirinya sebagai pendatang baru dalam bidang muzik.

“Alhamdulillah, saya rasa sangat senang apabila bekerja bersama Faizal. Saya rasa sangat bersyukur dapat dipertemukan dengan dirinya. Dia seorang yang sangat cool dan dia juga guru yang sangat bagus untuk saya,” kata Hanie kepada Astro Gempak.

Bercerita mengenai lagu Pantas, Hanie menjelaskan yang ianya mempunyai perbezaan berbanding dua single pertamanya, Hujung Dunia dan Rasa Sayang.

“Motif lagu Pantas masih sama dengan dua single saya sebelum ini, iaitu untuk memberi inspirasi terhadap orang ramai. Namun begitu, komposisi muziknya mempunyai sedikit perbezaan. Saya gembira kerana Pantas mendapat sambutan yang menggalakkan,” katanya.

Hanie yang kini sedang melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Mansourah, Mesir pulang ke Malaysia selama sebulan untuk menghabiskan cuti semester.

“Saya baru sahaja menyelesaikan pengajian untuk semester tujuh. Pembelajaran saya masih berbaki tiga tahun dan saya masih lagi belum pasti bidang mana yang mahu dipilih untuk menjadi pengkhususan saya kelak.

“Pada awalnya, saya mahu jadi seorang doktor pakar kanak-kanak. Tetapi lama kelamaan saya juga minat untuk menjadi cardiologist dan pakar bedah. Kalau boleh, saya mahu seimbangkan antara pelajaran dan bidang muzik agar ia berjalan seiring,” katanya mengakhiri perbualan.

Teks oleh: Kamaruddin Razal


Artikel Berkaitan


Komen