Pelakon Fattah Amin lebih selesa untuk tidak terlalu mendedahkan kisah cintanya dengan aktres Sherry Ibrahim kepada umum.

Menurut Fattah, dia mengambil keputusan untuk berbuat demikian kerana tidak mahu kisah cinta mereka menjadi tumpuan ramai.

“Saya dan dia (Sherry) masih lagi bercinta cuma kami mengambil pendekatan untuk tidak terlalu berkongsi kisah cinta kami.

“Sebab itu saya jarang memuat naik foto-foto kami berdua di Instagram (IG) begitu juga dengan Sherry. Kami bukan jenis yang suka post gambar berdua di IG.

“Kami tidak mahu orang kerap bertanya mengenai hubungan kami dan bila akan ke fasa seterusnya. Lagipun kalau terus bercerita tentang kisah peribadi pun nanti orang naik muak pula.

“Tak perlu nak jaja kisah cinta, tunggu saja kad kahwin, kalau ada jodoh adalah,” katanya ketika ditemui pada sidang media Bali Gateway with Fattah Amin bertempat di Istana Budaya pada petang Selasa.

Bercerita mengenai peminat, Fattah bersyukur kerana hubungannya dengan Sherry direstui walaupun ada juga diantara pengikut Instagram yang melemparkan komen negatif terhadap teman wanitanya.

“Alhamdulillah, setakat ini peminat juga merestui dan memberikan sokongan terhadap hubungan kami.

“Namun saya tak nafikan ada diantara peminat fanatik yang mahukan saya bercinta dengan heroin dalam drama lakonan saya seperti Hello Mr.Perfect.

“Kadang-kala sampai ada yang berikan komen-komen negatif di Instagram Sherry. Benda-benda begitu yang saya tak suka sebenarnya, kesian dia sedikit sebanyak dia juga yang kena tempias dan kalau boleh saya tak mahu perkara itu berlaku.

“Sebab itu saya rasa lebih baik sekiranya tidak terlalu menghebahkan mengenai hubungan kami,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Fattah akan meluangkan masa dan melancong bersama peminat menerusi Bali Gateway With Fattah Amin 2016 yang dianjurkan oleh Angkola Travel & Tour pada 1 hingga 3 April 2016 dengan harga RM1999.

Untuk maklumat lanjut sila follow Instagram @angkolatravel atau hubungi Encik Wan Rezairil di talian 012-6476367.