Pengacara Yatt Hamzah menafikan bakal suaminya, Zulfadhli menjadi punca perpisahan dengan Abdul Mutalib Abdul Shukor.

"Talib (Abdul Mutalib) pun mengenalinya ketika kami sama-sama menyertai misi kemanusiaan ke Syria sekitar Februari tahun lalu. Ingin saya tekankan di sini, beliau bukan punca perceraian saya dengan bekas suami.

"Kita tidak tahu jodoh yang akan ditentukan Tuhan. Ia sudah tertulis di Luh Mahfuz. Saya pula berasakan tiada masalah untuk berkahwin lagi kerana edah pun sudah habis. Ini satu rahmat dan rezeki daripada Tuhan.

"Saya sendiri tidak berniat untuk berselindung, malah berterus terang mengenai hari bahagia ini yang diharap dapat diraikan bersama keluarga dan teman tersayang.

"Saya dan bakal suami sudah lama mengenali, tetapi selama ini sebagai sahabat dan rakan sekerja. Kami cuma rapat selepas saya berpisah dengan bekas suami, serta pemergian bapa saya pada 15 November lalu,” katanya.

Dalam pada itu, Yatt memberitahu turut mengundang bekas suami ke majlis pernikahannya nanti.

"Saya harap, Talib akan datang ke majlis hari lahir anak kami. Itu sudah pun memadai. Saat ini, kami masih berkawan baik. Malah, kami lebih serasi sebagai kawan selepas berpisah," katanya.

Ditanya mengenai bakal suaminya yang menjadi model untuk jubah keluarannya sendiri, Yatt memberitahu, ia terjadi secara kebetulan.

"Dia model bidan terjun sebenarnya. Dia juruvideo untuk jubah itu, tetapi model yang sepatutnya tidak dapat hadir, jadi dia gantikan,” ujarnya.

Yatt atau Haryati Hamzah, 36, akan kembali bergelar isteri pada 27 Februari ini selepas tujuh bulan bergelar ibu tunggal.

Pelakon berkenaan akan disatukan dengan juruvideo, Mohammad Zulfadhli Khiruddin, 26, sekitar jam 8 pagi di sebuah masjid di Shah Alam.

Yatt berkata tiada majlis persandingan, sebaliknya hanya jamuan makan pada tengah hari, bersempena sambutan ulang tahun hari lahir keenam anak tunggalnya, Suci Hanania Malika.

Olahan Semula: Hafiza Kamarudin

Sumber: Berita Harian Online