Pelakon Fizz Fairuz mengakui dugaan kurang menerima tawaran berlakon sebelum ini memberi hikmah kepada dia dan isteri, Almy Nadia.

Fizz atau nama sebenarnya Mohd Fairuz Bin Zainal Abidin, berkata isterinya kini sedang hamil anak kedua yang sudah pun memasuki usia tujuh minggu.

“Dari segi tawaran berlakon saya kurang, bukan tiada langsung job yang saya dapat. Saya banyak berlakon dalam filem dan kalau boleh saya nak stabil. Tapi saya rasa kalau kurangkan pun mungkin Allah SWT ada perancangan untuk saya dan keluarga.

“Tawaran berlakon kurang tetapi yang saya dapat rezeki lain seperti projek Karnival Pahang. Sehinggakan saya terpaksa tolak tawaran berlakon kerana terlalu sibuk. Kira rezeki saya sudah beralih arah kerana pada saya rezeki bila ada cahaya mata baru mungkin lain,” kata Fizz Fairuz ditemui sewaktu pelancaran filem Munafik di GSC One Utama, Kuala Lumpur.

Jelas Fizz, dia meluahkan rasa syukur dengan kehadiran cahaya mata mereka yang kedua dan tidak pernah merancang untuk menambah ahli keluarga mereka.

“Saya sememangnya tidak rancang untuk dapat baby baru. Manalah tahu jika rancang, tiba-tiba isteri tak diberi peluang untuk mengandung lagi ke kan...sebab kita tidak boleh tahu kuasa Allah SWT,” katanya lagi.

Sementara itu, dia tidak berniat untuk merahsiakan berita kehamilan isterinya dan menunggu masa yang sesuai untuk berkongsi kepada umum.

“Pada awalnya saya tidak mahu cerita terlalu cepat kepada umum kerana tunggu pengesahan daripada pihak doktor dahulu. Apabila dapat keputusan daripada doktor baru saya berani nak kongsi berita gembira ini kepada peminat,” jelas Fizz.

Dalam perkembangan lain, Fizz bakal muncul menerusi filem Munafik yang diarahkan oleh pengarah Syamsul Yusof.

Menurut Fizz, Munafik bakal menjanjikan sesuatu berbeza dan jauh lebih seram daripada filem Khurafat yang turut diarahkan oleh Syamsul Yusof.

“Pada pendapat saya kalau Khurafat 100 peratus seram, kali ini Munafik saya boleh janji dua kali ganda seram. Filem ini sememangnya sebuah karya yang sangat berbeza kerana hasil kerja Syamsul Yusof mampu menyamai filem-filem seram dari Thailand,” ujar Fizz mengakhiri perbualan.

Munafik dibintangi oleh pelakon hebat seperti Nabila Huda, Pekin Ibrahim, A. Galak, Sabrina Ali dan Datuk Rahim Razali dan bakal menemui penonton di pawagam pada 25 Februari ini.

Teks Oleh: Khalid Rahman